Uncategorized

China saran lima perkara kukuhkan kerjasama dengan ASEAN



NANNING: China yang juga peneraju pasaran terbesar serantau, menyarankan lima perkara yang perlu diberi penekanan bagi kerjasama China-ASEAN selain komited memberi sokongan penuh membantu membangunkan aspek ekonomi dan infrastruktur kalangan komuniti gagasan tersebut.

Ketika berkongsi saranan itu, Naib Perdana Menteri China Han Zheng berkata perkara pertama adalah Memperkukuh Strategi Kualiti dalam memperkasakan Inisiatif ‘Belt and Road’ (BRI) dan Inisiatif Komuniti ASEAN 2025 bagi memantapkan kerjasama antara China dan negara-negara anggota ASEAN.

“Kedua, Mengukuhkan Kerjasama Strategi untuk memberi kelebihan kepada ekonomi ASEAN melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bagi memudahkan aktiviti perdagangan dan import eksport selain memperbanyakkan ekspo perniagaan untuk menjana pembangunan bersama.

“Selain itu, perkara ketiga adalah Mengukuhkan Rangkaian Kesalinghubungan iaitu meningkatkan jaringan pengangkutan serantau seperti landasan kereta api, penerbangan, maritim dan keselamatan siber,” katanya berucap pada majlis perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2019 di sini, pada Sabtu.

Berucap selanjutnya, Han berkata saranan keempat adalah Memperkukuhkan Inovasi seperti memperluaskan jaringan e-dagang serta menjayakan ‘Kerjasama Ekonomi Biru.’

Cadangan kelima, kata beliau, menyentuh aspek Memperkukuhkan Sosiobudaya dalam memperkasakan pendidikan, kebudayaan, kesihatan, generasi muda, dan juga media di antara China-Asean.

Dalam pada itu, mengulas CAEXPO edisi ke-16 itu, beliau berharap komuniti ASEAN dapat mengambil inisiatif untuk bekerjasama menjayakan inisiatif BRI yang dijayakan oleh negara itu.

Ekspo ASEAN-China itu berlangsung selama empat hari bermula 21 hingga 24 September ini dan turut menyaksikan penyertaan 167 syarikat termasuk 151 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.

— BERNAMA





Source link

Related Posts