Artikel Terkini

Covid-19: Hampir 10 Juta Rakyat Amerika Syarikat Hilang Pekerjaan Dalam Tempoh Dua Minggu


Jabatan Buruh Amerika Syarikat melaporkan pada Khamis (2 April 2020) bahawa jumlah tuntutan faedah pengangguran melonjak ke paras tertinggi 6.6 juta orang pada minggu berakhir 28 Mac.

Peningkatan ini adalah dua kali ganda berbanding tuntutan faedah pengangguran yang dicatatkan pada minggu sebelum itu sebanyak 3.28 juta permohonan pada minggu berakhir 21 Mac.

Jumlah Tuntutan Pengangguran Amerika Syarikat. Sumber: TRADINGECONOMICS | Jabatan Buruh AS

Laporan ini juga menunjukkan sejumlah 10.4 juta tuntutan yang direkodkan pada bulan Mac 2020. Jumlah ini lebih tinggi berbanding dengan jumlah pengangguran yang dicatatkan sepanjang tempoh ‘Great Recession’ antara tahun 2007 hingga 2009.

Wilayah yang paling banyak terjejas adalah Hawaii,
Pennsylvania, Rhode Island, Washington dan Massachusetts dengan masing-masing
mencatat jumlah tuntutan 73, 62, 50 dan 47 
bagi setiap 1,000 orang pekerja. Daripada jumlah keseluruhan tuntutan
pada minggu lepas, California adalah negeri paling banyak merekodkan jumlah
pengangguran iaitu 878,000.

Pihak Jabatan Buruh dalam kenyataanya berkata pandemik
Covid-19 terus memberi impak kepada jumlah tuntutan faedah pengangguran.
Rata-rata pekerja yang diberhentikan memberi sebab yang sama iaitu kerana
Covid-19 yang semakin menular.

Setakat pada hari Khamis jumlah kes positif yang direkodkan di
Amerika Syarikat adalah 236,221 kes, paling tinggi di dunia diikuti Itali,
Sepanyol, Jerman dan China di tangga kelima. Daripada jumlah itu, 5,780 kes
kematian dicatatkan dengan jumlah pesakit yang pulih mencecah 10,324 orang.

Pertambahan jumlah kes Covid-19 di Amerika Syarikat. Sumber: worldometers

Pakar berpendapat jumlah sebenar adalah lebih besar kerana segelintir penuntut tidak berjaya membuat permohonan disebabkan jumlah trafik yang terlalu ramai dalam satu-satu masa.

Sebelum aktiviti ekonomi dihentikan di kebanyakan wilayah di
Amerika Syarikat, jumlah tuntutan faedah pengangguran paling banyak dicatat
adalah 695,000 pada tahun 1982. Jumlah tuntutan yang tertinggi semasa Great
Recession
pula adalah 665,000 pada bulan Mac 2009.

Walaubagaimanapun, perintah penjarakan sosial yang
dikuatkuasakan telah menyebabkan peningkatan mendadak dalam jumlah pengangguran
kerana kebimbangan penduduk dengan penularan koronavirus.

Kadar pengangguran semasa di Amerika Syarikat adalah 3.5%
sebelum penularan Covid-19. Ia adalah kadar terendah yang pernah dicapai sejak
50 tahun yang lalu, menunjukkan pasaran buruh negara Uncle Sam ini
berada di paras terbaik dalam sejarah.

Jika mengambil kira jumlah tuntutan pengangguran yang
dicatatkan pada minggu lalu, ia adalah tambahan 6% kepada kadar pengangguran
semasa. Maknanya di sini kadar pengangguran semasa di Amerika Syarikat kini
berada di sekitar 10%, jika mengambil kira jumlah tuntutan pengangguran yang
kini mencecah 10 juta dalam tempoh dua minggu.

Kadar Pengangguran Amerika Syarikat. Sumber: TRADINGECONOMICS | Biro Statistik Buruh AS

Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang banyak bergantung kepada perbelanjaan pengguna dengan kebergantungan yang tinggi terhadap sektor perkhidmatan sebanyak 70%. Bagi meningkatkan perbelanjaan domestik, pasaran buruhnya mestilah berada dalam keadaan optimum dengan kadar pengangguran tidak melebihi 5%.

Peningkatan mendadak dalam tuntutan faedah pengangguran jelas
menunjukkan besarnya impak negatif yang dibawa oleh virus Covid-19 kepada
ekonomi AS. Kerajaan persekutuan pimpinan Presiden Trump perlu mengagihkan
rangsangan US$2 trillion kepada isirumah dan perniagaan bagi memastikan ekonomi
terus berjalan.

Pakej rangsangan tersebut telah ditandatangani secara rasmi oleh Trump pada Jumaat lepas (27 Mac 2020) termasuk pemberian one-off sebanyak US$1,200 kepada ratusan jutaan rakyat di Amerika Syarikat dan juga tambahan US$600 kepada faedah pengangguran selama empat bulan.

Jumlah rangsangan itu mungkin tidak mencukupi, tetapi ia akan
membantu dalam jangka pendek. Mereka yang telah kehilangan pekerjaan masih
mendapat sumber kewangan untuk dibelanjakan kepada keperluan asas seperti
makanan dan tempat tinggal.

Penganalisa ekonomi di Federal Reserve cawangan St.
Louis mengunjurkan sejumlah 47 juta penduduk akan kehilangan pekerjaan
menjelang akhir bulan Jun 2020
yang mana akan membawa kadar pengangguran ke paras 32.1%.
Situasi ini juga sangat berbeza dengan kemelesetan ekonomi yang pernah berlaku
sejak 100 tahun yang lalu.

Dalam keadaan seperti ini, Amerika Syarikat perlu rangsangan
yang lebih besar susulan daripada pakej yang telah diumumkan sebelum ini.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini berkhidmat di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link