Artikel Terkini

COVID-19: Langkah Malaysia buka ekonomi sewajarnya dicontohi – Penganalisis ekonomi Australia



KUALA LUMPUR: Mendepani ancaman pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama memastikan tahap kesihatan rakyat terjaga serta aktiviti ekonomi dapat diteruskan, bukan satu perkara yang mudah.

Menurut Penganalisis Ekonomi dari Australia yang juga Felo Pelawat Fakulti Ekonomi, Universiti Malaya (UM), Stewart Nixon, langkah Malaysia membuka semula ekonomi beransur-ansur dengan pendekatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) amat bertepatan pada masanya.

“Malaysia dilihat telah mengambil langkah yang lebih baik daripada kebanyakan negara lain dan terus berhati-hati dalam segala perancangan. Pada masa sama, Malaysia juga perlu terus menjalinkan kerjasama dengan negara lain bagi menjaga perdagangan dan pelaburan berjalan disamping memerangi virus COVID-19.

“Tahun ini, tahun Malaysia menganjurkan Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang turut terjejas, tetapi ini juga peluang buat Malaysia untuk menjadi contoh bagaimana untuk memerangi pandemik ini dan pada masa sama memastikan perdagangan dan pelaburan diteruskan,” katanya ketika ditemubual Astro AWANI.

Ujarnya, dorongan dan bantuan kepada sektor perniagaan sedia ada sewajarnya diteruskan oleh kerajaan Malaysia dalam memastikan ekonomi dapat kembali dipacu.

“Saya rasa yang harus mereka (kerajaan) lakukan dari sudut ekonomi adalah dengan terus memberi dorongan perniagaan normal baharu menerusi pendekatan digital.

“Risikonya ada, virus ini tidak akan hilang sehinggalah vaksinnya ditemui. Kerajaan Malaysia  perlu memastikan keseimbangan antara tahap kesihatan dan ekonomi walaupun sukar. Persoalannya kini, dapatkah ekonomi dan kesihatan dapat dipertahankan,” katanya.





Source link

Related Posts