Artikel Terkini

COVID-19: Pertimbang kelonggaran di kawasan hijau, kembali rancakkan ekonomi – Mustapa



KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan-kawasan yang diisytiharkan sebagai zon hijau.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sedikit kelonggaran mampu merancakkan kembali ekonomi di sesuatu kawasan.

Namun, katanya ia masih tertakluk kepada nasihat Kementerian Kesihatan.

“Perlis sebagai contoh adalah negeri (zon) hijau apabila tiada kes dilaporkan dalam beberapa hari ini.

“Jadi kerajaan ada fikirkan supaya kita lihat kepada kemungkinan untuk memberi kelonggaran kepada pergerakan di kawasan hijau, sama ada di daerah atau lokaliti hijau.

“Kini pihak berkuasa sedang mengzonkan kawasan bukan sahaja peringkat daerah tetapi di peringkat lokaliti dalam sesebuah daerah,” katanya pada sesi diskusi dalam talian yang dianjurkan IDEAS Malaysia.

BACA: Perubahan ketara situasi global, RMK-12 perlu disusun semula – Mustapa

Sesi yang berlangsung selama lebih satu jam itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Malaysia, Ali Salman.

Pada Fasa Ketiga PKP, Kerajaan memutuskan untuk memberi kelonggaran dan kebenaran kepada beberapa industri untuk kembali beroperasi secara bersyarat.

Kini, Kerajaan turut memberi sedikit kelonggaran kepada mereka yang berada di kampung untuk pulang ke bandar, selain penuntut di universiti untuk kembali ke kediaman masing-masing. 





Source link

Related Posts