Artikel Terkini

Derma dengan ikhlas secara digital Ramadan ini



BULAN Ramadan yang paling dinanti-nantikan oleh umat Islam bakal tiba tidak lama lagi. Ia secara amnya menyeru umat Islam seluruh dunia untuk mengambil kesempatan ini sebagai masa terbaik untuk menggandakan ibadah sekaligus mengutip ganjaran pahala seperti dijanjikan Allah SWT.

Selain menunaikan ibadah puasa, menderma atau bersedekah adalah salah satu amalan yang memberi keuntungan besar kepada mereka yang melakukannnya pada bulan yang mulia ini.

Tetapi, tidak terlepas juga ada segelintir pihak di luar sana yang sering mengambil kesempatan terhadap amalan menderma sehingga menimbulkan persoalan atau persepsi kepada masyarakat, ke manakah duit itu pergi atau adakah mereka ini benar-benar mengutip derma untuk badan amal atau golongan yang memerlukan?

Kecanggihan teknologi hari ini sedikit sebanyak menaruh kembali keyakinan orang ramai untuk melaksanakan amalan ikhlas ini atas faktor ia lebih selamat dan sah. Ia tidak lagi menjadi alasan untuk tidak menghulurkan derma kerana sudah banyak saluran diwujudkan bagi memudahkan anggota masyarakat menghulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Seiring dengan itu, salah satu cara untuk anda menjalankan tanggungjawab amal di bulan Ramadan ini adalah menerusi ‘Derma Dengan Ikhlas’, inisiatif platform derma awam digital selamat dan terjamin bagi individu atau organisasi.

Inisiatif tabung derma ini digerakkan oleh Ikhlas.com, jenama perniagaan di bawah naungan AirAsia, dengan kerjasama Yayasan Amanah Assofwah Almalikiyyah, di mana dana tersebut akan digunakan untuk membantu komuniti yang memerlukan serta pasukan barisan hadapan, selain membantu peniaga tempatan di bulan Ramadan ini. 

Ketua Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata, sambutan Ramadan pada tahun ini yang sudah tentu berbeza berbanding sebelum ini, tidak menghalang pihaknya serta komuniti di AirAsia untuk meneruskan amalan bersedekah.

Malah jelasnya, inisiatif ini memberi peluang kepada semua orang untuk bekerjasama dan bersama membantu mereka yang memerlukan pada bulan mulia ini.

“Kami berharap untuk mengedar barang keperluan asas kepada 5,000 buah keluarga dan juadah berbuka puasa kepada lebih 20,000 individu sepanjang bulan Ramadan ini. Kami akan membeli bekalan daripada lebih 100 peniaga kecil dan sederhana dengan tujuan membantu perniagaan mereka pada masa yang sukar ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara komuniti yang akan menerima sumbangan ini termasuk keluarga yang kurang bernasib baik, pelarian dan badan bukan berasaskan keuntungan seperti Soup Kitchen dan rumah anak-anak yatim.

“Sebahagian daripada dana tersebut juga akan digunakan untuk membeli juadah berbuka puasa bagi pasukan barisan hadapan yang bertugas seperti pegawai perubatan, polis, tentera dan lain-lain,” katanya lagi.

Kempen ini bermula dari 20 April hingga 22 Mei 2020 dan orang awam boleh melayari laman web Givewith.Ikhlas.com atau terus ke Facebook dan Instagram, ikhlasdotcom untuk menderma.

Menerusi tinjauan yang dilakukan di laman web Ikhlas, sasaran kutipan yang diletakkan adalah RM1,000,000 dan difahamkan dalam tempoh 24 jam sejak dilancarkan pada Isnin, jumlah yang terkumpul melebihi RM300,000.

Sumbangan boleh dilakukan menerusi perbankan atas talian secara debit terus.

‘Derma Dengan Ikhlas’ adalah sebahagian daripada kempen #InThisTogether oleh Kumpulan AirAsia.

Ikhlas.com merupakan jenama perniagaan baharu di bawah naungan AirAsia.com yang ditubuhkan khusus untuk perniagaan pelancong Islam.

Portal itu akan dilancarkan pada bulan Jun 2020 dan bertujuan untuk membantu umat Islam di seluruh dunia dalam menunaikan kewajipan agama termasuk umrah, korban dan gaya hidup berasaskan hukum syariah.





Source link