Artikel Terkini

Detik sukar bagi Bursa Malaysia kian berlalu



KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka melantun semula dan mengakhiri tahun ini dengan prestasi lebih kukuh di tengah-tengah ketidaktentuan global, penutupan perniagaan dan pengurangan hasil korporat yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.

AmInvestment dalam laporan ekuitinya hari ini berkata, petunjuk pasaran itu dijangka mencecah paras 1,530 pada akhir tahun, disokong oleh mudah tunai domestik yang kukuh daripada kedua-dua pelabur institusi dan runcit yang berjaya meneutralkan jualan berterusan oleh pelabur asing.

Firma penyelidikan itu berkata mudah tunai kukuh itu dipacu oleh sentimen minat risiko global, yang didorong oleh antara lainnya, pakej rangsangan fiskal dan monetari besar-besaran oleh bank pusat dan kerajaan di seluruh dunia.

Penilaian semula besar-besaran baru-baru ini ke atas pendapatan harga bagi sektor sarung tangan getah yang telahpun tinggi — yang kini menyumbang sembilan peratus daripada wajaran FBM KLCI disebabkan oleh permintaan kukuh terhadap peralatan perlindungan peribadi susulan pandemik COVID-19 — juga membantu meningkatkan prestasi indeks itu.

“Kami menjangka prestasi ini berterusan walaupun selepas berakhirnya pandemik berikutan kesedaran dan amalan penjagaan kesihatan yang tinggi di seluruh dunia, “kata firma penyelidikan itu..

Keseluruhan prestasi pasaran

Menurut Bloomberg, FBM KLCI diniagakan antara paras 1,207.80-1,694.55 dalam tempoh jajaran 52-minggu dengan pulangan setakat tahun ini pada -6.32 peratus.

Prestasi pasaran terjejas oleh pertelingkahan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China, harga minyak mentah yang tidak menentu, penurunan permintaan komoditi serta pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan penutupan perniagaan di seluruh dunia.

Bagaimanapun, beberapa sektor utama — terutamanya sektor penjagaan kesihatan — menjadi kaunter untung paling utama semasa bermula penularan pandemik itu.

Kaunter untung utama termasuklah Top Glove, Hartalega serta Rubberex Corp — syarikat-syarikat yang terlibat dalam membekalkan sarung tangan perubatan di seluruh dunia.

Top Glove, pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, kini merupakan saham permodalan pasaran ke-13 terbesar di Bursa Saham Singapura dengan permodalan pasaran SGD11.40 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, Top Glove mengumumkan ia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM227.11 juta dalam tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2020 dengan hasil sebanyak RM2.44 bilion.

Harga sahamnya meningkat lebih daripada berganda daripada purata RM8 sesaham pada Mac kepada RM16.04 hari ini.

Top Glove juga merupakan satu daripada saham komponen Indeks MSCI Global Standard, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI, Indeks FBM 100, Indeks FBM Emas, Indeks FBM Hijrah Syariah, Indeks FBM Emas Syariah, Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia dan Dow Jones Sustainability Index (DJSI) bagi Pasaran Sedang Pesat Membangun.

Di keseluruhan pasaran, segmen komoditi, utiliti dan pembinaan menunjukkan petanda pemulihan selepas jatuh awal tahun ini disebabkan penurunan permintaan, harga minyak yang tidak menentu serta penangguhan tempoh pembinaan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seorang penganalisis berkata susulan pembukaan semula ekonomi, pasaran global dijangka bangkit daripada penurunan pada suku kedua menjelang akhir tahun ini.

“Dengan aktiviti pelancongan tempatan dijangka bermula kembali pada suku ketiga, kami menjangkakan aliran meningkat pada suku keempat dalam semua sektor.

“Kita berdepan tempoh yang sukar, tetapi dengan strategi yang betul serta usaha berterusan kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan dan merancakkan semula perniagaan kecil yang terjejas akibat PKP, Malaysia berada di landasan untuk mencapai pemulihan pada akhir tahun,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts