Artikel Terkini

Empat Catalyst Yang Bakal Menggerakkan Pasaran Pada Minggu Ini (13-17 Julai 2020)


Pasaran saham global merekodkan prestasi memberangsangkan pada minggu lalu dengan pasaran Wall Street dan indeks saham utama di Asia mencatat keuntungan.

Dalam penutupan di Bursa Saham New York (NYSE) pada Jumaat (10 Julai 2020), Indeks Dow Jones Industrial Average (DJIA) yang mengandungi 30 syarikat terbesar dalam bursa saham Amerika Syarikat (AS) naik sebanyak 1.44% dan ditutup pada 26,075 mata.

Indeks komposit Nasdaq yang terdiri lebih daripada 2,500 syarikat ditutup pada paras 10,617 mata lebih tinggi daripada tempoh sebelumnya 10,207 mata.

Manakala indeks S&P 500 yang sering dijadikan panduan prestasi keseluruhan ekonomi AS ditutup 1.05% lebih tinggi di paras 3,185 mata.

Kenaikan ini disokong oleh sektor tenaga, kepenggunaan, dan perbankan. Faktor penting kepada kenaikan ini adalah isyarat positif dalam analisis syarikat Gilead Sciences dalam penghasilan vaksin untuk mengubati penyakit Covid-19.

Pelabur-pelabur China pada mulanya berpusu-pusu masuk ke pasaran saham negara itu pada sesi dagangan Isnin (6 Julai 2020) sehingga menyebabkan kenaikan indeks CSI300 setinggi 5.7%. Motivasi pelabur pada hari tersebut didorong oleh Beijing agar mereka membeli ekuiti tempatan dengan meyakinkan bahawa ekonomi sedang pulih daripada pandemik.

Prestasi pasaran China begitu baik pada minggu lalu di mana indeks Shanghai merekodkan kenaikan empat hari berturut-turut sejak Isnin sebelum membuat penurunan pada sesi dagangan semalam.

Bursa Malaysia juga merekodkan prestasi yang baik pada minggu lalu yang mana boleh dikatakan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) merekodkan kenaikan dalam empat hari dagangan minggu ini kecuali pada hari Selasa (7 Julai 2020).

Catalyst yang menyokong kenaikan Bursa Malaysia pada minggu ini adalah permintaan yang terus mapan terhadap tujuh kaunter sarung tangan negara, lonjakan saham ‘penny-stock‘ dan juga tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar faedah ke paras terendah dalam sejarah.

Berikut adalah empat catalyst yang akan menjadi perhatian pelabur sepanjang minggu ini.

Perkembangan Penularan Kes Covid-19

Keadaan semasa dalam pasaran global akan terus mendominasi pergerakan domestik terutamanya dalam kes penularan koronavirus.

Berbeza dengan minggu sebelumnya apabila pasaran dirangsang dengan isyarat positif dalam penghasilan vaksin Covid-19 dan juga data-data ekonomi positif, minggu ini dijangka tidak menentu dengan lonjakan kes positif yang dicatatkan terutamanya di Amerika Syarikat.

Kemungkinan kawalan ketat semula pergerakan bermain-main di minda pelabur kerana ia bakal memberi kesan kepada nilai pelaburan mereka. Bukan sahaja pelabur di AS, malah seluruh dunia kerana keadaan buruk di negara itu bakal memberi kesan kepada global.

Aktiviti Perdagangan China

Laporan imbangan dagangan (trade balance) negara China akan dikeluarkan pada hari Selasa (14 Julai 2020) di mana ia bakal mencatatkan lebihan US$58.3 billion berbanding jumlah sebelum ini US$62.9 billion.

Sebagaimana dalam setiap laporan, tumpuan akan terarah kepada kenaikan atau penurunan import-eksport China untuk kita melihat tahap pemulihan yang sedang berjalan di negara itu.

Peningkatan dalam kedua-dua komponen import dan eksport menunjukkan ekonomi global sedang pulih manakala sebaliknya pula jika kedua-dua komponen merosot memberi indikator kurangnya kapasiti di China dan permintaan dunia.

Mesyuarat Bank Pusat Utama Dunia

Di antara bank pusat utama dunia yang akan bermsyuarat pada minggu ini adalah Bank of Japan (BoC), Bank of Canada (BoC) dan juga European Central Bank (ECB).

BoJ akan bermesyuarat pada hari Rabu (15 Julai 2020) yang mana majoriti pelabur akan ada perubahan kepada kadar faedah dan juga jumlah pembelian bon. Masalah utama bank pusat ini sejak bertahun lamanya adalah untuk menaikkan kadar inflasi dan kini bacaan teras indeks harga pengguna (CPI) pada bulan April jatuh ke paras negatif buat pertama kali sejak tahun 2016.

Kadar faedah Bank of Canada (BoC) kekal rendah di paras 0.25% sejak bulan Mac yang lalu selepas ia diturunkan sebanyak tiga kali dalam tempoh hanya empat minggu. Dalam mesyuarat kali ini pelabur menjangka kadar faedah akan terus dikekalkan kerana tiada keperluan untuknya diturunkan buat masa ini. Rangsangan yang mungkin akan diperkenalkan adalah program pembelian bon bagi memastikan kecairan mencukupi di dalam pasaran kewangan negara itu.

European Central Bank (ECB) adalah antara bank pusat utama yang perlu diberi perhatian kerana ia mewakili sebahagian besar negara di blok Eropah. Sepertimana bank pusat utama yang lain, ECB juga dijangka mengekalkan dasar monetari semasa yang telah diputuskan sebelum ini.

Laporan Pendapatan di Wall Street

Laporan pendapatan suku kedua akan bermula pada minggu ini dengan fokus terarah kepada institusi perbankan di Amerika Syarikat.

Antara yang akan membentangkan laporan kewangan mereka adalah Citigroup, JP Morgan Chase, Wells Fargo pada hari Selasa (14 Julai 2020) seterusnya Goldman Sach pada hari Rabu manakala Bank of America dan Morgan Stanley pada hari Khamis.

Reuters melaporkan bahawa penganalisa ekonomi meramalkan syarikat-syarikat di dalam S&P 500 kesemuanya akan merekodkan kejatuhan pendapatan sebanyak 44.1% pada suku kedua berbanding tempoh sama tahun lalu.

Antara lain tumpuan di Amerika Syarikat adalah data harga pengguna (CPI), pengeluaran industri dan tuntutan pengangguran.

Sumber rujukan:

https://think.ing.com/articles/bank-of-canada-preview-macklem-on-tiptoes/

https://www.ecb.europa.eu/press/key/date/2020/html/ecb.sp200624~d102335222.en.html

https://www.businesstoday.in/markets/market-perspective/week-ahead-in-share-market-5-things-you-need-to-know-for-upcoming-week/story/409645.html

https://www.thestar.com.my/business/business-news/2020/07/13/the-week-ahead–gdp-interest-rates-china-trade-us-earnings



Source link