Artikel Terkini

Farm Fresh anjur konsert dalam ladang lembu


SERDANG: Santai dan kreatif!

Farm Fresh Sdn Bhd yang juga penaja program realiti nyanyian Gegar Vaganza musim keenam (GV6) menghargai lebih 600 ‘home dealers’ syarikat itu dengan menganjurkan Konsert ‘Picnic In The Farm’ di Ladang 16, Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Sabtu.

Konsert yang diadakan di ladang yang berkeluasan 190 ekar itu diserikan dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan daripada juara GV6, Hady Mirza dan Naqiu Boboy.

Berbeza dengan kebanyakan konsert hiburan lain, Ketua Pegawai Operasinya, Azmi Zainal berkata pemilihan lokasi dan idea adalah sebagai mencerminkan imej syarikat pengeluar susu segar terkemuka negara itu.

“Ini pertama kali di Malaysia konsert in the farm dianjurkan.

“Ia merupakan lanjutan daripada konsert Gegar Vaganza tetapi yang ini kita tujukan kepada pasukan Farm Fresh. Semua yang dijemput adalah pasukan Farm Fresh dan tetamu-tetamu kita,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pelbagai acara menarik termasuk persembahan juara GV6, Hady Mirza dan Naqiu Boboy

Katanya, Farm Fresh begitu teruja meraikan kakitangan dan pelanggan mereka yang sentiasa menyokong produk tenusu itu.

Sejak Farm Fresh menjadi penaja beberapa program hiburan tanah air, produk yang dikeluarkan syarikat itu mendapat permintaan yang memberangsangkan daripada pelanggan.

“Ada dua perubahan yang saya nampak, pertamanya produk kita tidak cukup dan habis di pasaraya.

“Kedua, kesan kepada ekonomi pengedar-pengedar saya yang hadir pada hari ini. Pendapatan mereka meningkat dan itulah konsep yang saya bawakan, kongsi rezeki dan peluang,” ujarnya.

Azmin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh dalam pada itu memaklumkan ladang moden di UPM, Serdang bakal dibuka kepada orang ramai mulai Februari 2020.

Gambar Astro AWANI

Sehingga hari ini, sebanyak empat buah ladang lembu telah diusahakan syarikat itu bermula di Kota Tinggi dan Desaru, Johor; serta Muadzam Shah, Pahang.

Selain susu segar, produk tenusu Farm Fresh juga boleh didapati dalam bentuk minuman yogurt.

Di samping Hady dan Naqiu, konsert yang bakal disiarkan pada 15 Januari ini turut dimeriahkan oleh enam peserta lain termasuk Jatt dan Nurfatima.

Konsert ‘Picnic In The Farm’ yang dihoskan oleh Bell Ngasri dan Fiza Frizzy boleh ditonton di saluran Astro Ria (104), Ria HD (123) dan Astro GO.





Source link

Related Posts