Artikel Terkini

FGV mahu bantu kerajaan kurangkan kos import makanan



KUALA LUMPUR: Tindakan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) memasuki perusahaan makanan antara lain tujuannya adalah untuk membantu Malaysia mengurangkan kos mengimport makanan yang mencecah RM60 bilion setahun.

Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, faktor itu merupakan antara sebab Lembaga Pengarah bersetuju FGV berkecimpung dalam perusahaan makanan yang lebih stabil.

“Selain itu, kita juga ada rancangan membesarkan ladang. Selain dari kita tumpukan tanaman sawit, kita juga buat pertanian lain seperti nanas, pisang dan kita juga akan menjalinkan hubungan dengan peneroka Felda.

“Ini supaya mereka juga dapat bekerjasama dengan FGV supaya kita dapat majukan industri makanan dan mereka juga berpeluang untuk menjana lebih pendapatan,” katanya dalam sidang media maya di sini selepas selesai Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-12 FGV pada Jumaat.

BACA: FGV jangka catat prestasi baik pada suku kedua berikutan peningkatan FFB

Tambahnya, FGV kini giat meneroka bidang perniagaan lain di samping perniagaan terasnya dalam perladangan sawit, gula dan logistik.

“FGV menyasarkan untuk memastikan setiap keputusan adalah untuk jangka masa panjang supaya memberi kesan positif kepada pendapatan serta keuntungan,” katanya.

Sebelum ini, FGV dan anak syarikatnya, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dilaporkan akan mempercepatkan rancangan membangunkan kawasan pertanian baharu yang dinamakan Lembah Makanan Agro FGV di Chuping, Perlis.

Pengumuman itu dibuat susulan pembatalan perjanjian jual dan beli (SPA) di antara anak syarikat MSM, iaitu MSM Perlis Sdn Bhd (MSM Perlis) dan F&N Agrivalley Sdn Bhd (dulu dikenali sebagai Rimba Perkasa Sdn Bhd) pada 9 April lalu.





Source link

Related Posts