Artikel Terkini

Hadkan penggunaan media sosial ketika PKP, bantu kurangkan kerisauan pandemik – Pakar



KUALA LUMPUR: Susulan lanjutan tempoh ‘duduk di rumah’, orang ramai disaran agar mengehadkan penggunaan media sosial terutama dalam mendapatkan informasi berkenaan pandemik COVID-19.

Pakar Psikologi Klinikal yang juga Pembantu Pensyarah Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Jamilah Hanum Abdul Khaiyom berkata, situasi berdepan pandemik boleh meningkatkan kerisauan (anxiety) dalam diri terutama apabila terlalu mudah percaya dengan maklumat-maklumat yang dikongsi di media sosial.

Ini boleh dilakukan orang ramai ketika ini termasuk dengan menetapkan dua kali sehari sahaja dalam mendapatkan informasi terkini dari sumber yang betul.

“Elakkan membaca dan berkongsi sumber yang belum diketahui kesahihannya kerana ia boleh meningkatkan rasa bimbang dalam diri dan orang lain.

“Untuk menjaga kesihatan mental, lakukan apa yang disarankan oleh kementerian sahaja seperti langkah-langkah pencegahan dan penjarakan sosial,” katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Khamis.

Namun, beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati agar tidak berlebih-lebihan ketika mengamalkan langkah pencegahan.

“Kalau kita berlebih-lebihan buat perkara yang mungkin tidak disarankan, ia akan melawan produktif (counter-productive) di mana ia boleh meningkatkan lagi kebimbangan terhadap sesuatu perkara.

“Selain itu, orang ramai juga perlu menjadikan gaya hidup baharu ini sebagai rutin bagi memberi struktur kepada kehidupan harian. Kehidupan yang berstruktur dapat membantu kita untuk mengawal sesuatu keadaan,” katanya.

Mengulas situasi rakyat Malaysia yang perlu bertugas dari rumah (work from home), beliau berkata, penting untuk mereka tahu bagaimana untuk menguruskan konflik kerja dan keluarga.

“Dalam memastikan kesihatan mental kita terjaga semasa bekerja, individu disarankan untuk mengenalpasti faktor-faktor yang boleh mengganggu tumpuan ketika bertugas khususnya yang berkeluarga,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan sokongan psikososial sekiranya didapati tahap kerisauan mereka menganggu fungsi hidup.

Beliau berkata demikian mengulas perintah kerajaan melanjutkan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April ini.





Source link