Uncategorized

Harga jatuh, dagangan saham Axiata digantung Bursa Malaysia



KUALA LUMPUR: Dagangan jualan singkat harian proprietari (PDT) dan jualan singkat harian (IDSSS) bagi saham Axiata Group Bhd digantung hari ini.

Bursa Malaysia ketika mengumumkan perkara itu berkata, ini susulan penurunan harga saham tersebut selepas Axiata dan Telenor ASA mengambil keputusan untuk menamatkan rundingan penggabungan mereka.

“Sila ambil maklum bahawa jualan singkat di bawah PDT dan IDSS bagi saham Axiata digantung hari ini memandangkan Harga Dagangan Terakhir Sekuriti diluluskan merosot lebih daripada 15 peratus daripada harga rujukan,” kata bursa tempatan hari ini.

Ia menambah, jualan singkat PDT and IDSS akan diaktifkan semula pada Rabu.

Setakat jam 2.29 petang Selasa, saham Axiata didagangkan pada RM4.17.

Manakala saham Digi, salah satu anak syarikat Telenor ASA, didagangkan pada RM4.58.

Menurut agensi berita Bernama yang memetik AllianceDBS Research, saham Axiata dan Digi masing-masing meningkat 18 peratus dan 8 peratus sejak pengumuman cadangan penggabungan itu empat bulan lepas.

Axiata pada 6 September lalu mengumumkan secara rasmi penghentian rundingan penggabungan tersebut.

“Disebabkan beberapa kerumitan berkenaan transaksi yang dicadangkan, kedua-dua bersetuju untuk menamatkan perbincangan,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media.

Jika terjadi, penggabungan tersebut bakal menjadi yang terbesar di ASEAN, dan dijangka akan menghasilkan pendapatan lebih daripada RM50 bilion dan EBITDA melebihi RM20 bilion dengan operasi di sembilan negara dengan 300 juta pelanggan.

Entiti yang disatukan akan muncul sebagai pengendali jaringan telekomunikasi terbesar di Malaysia, Nepal, Kemboja, Myanmar, Sri Lanka dan Bangladesh.





Source link

Related Posts