Uncategorized

Henry Ford, Pencetus Revolusi Industri Automotif Dunia


Industri automotif tidak lengkap jika kita tidak menyebut nama Henry Ford sebagai ikon dunia. Henry Ford merupakan seorang tokoh industrialist yang terkenal pada awal abad ke-19. Beliau merupakan pengasas Syarikat kereta Ford yang merupakan syarikat pertama yang menjual kereta secara komersial kepada orang awam. Jom kita kenali beliau dengan lebih mendalam.

Henry Ford dilahirkan pada 30 Julai 1863 di Dearborn, Michigan, Amerika Syarikat. Beliau yang dilahirkan dalam keluarga petani di mana keluarganya mempunyai ladang pertanian. Ibu bapanya berasal dari Ireland dan telah belayar ke Amerika Syarikat untuk mencari rezeki. Bapanya bernama William Ford manakala ibunya bernama Mary Litogot. Henry Ford boleh dikatakan bertuah kerana dilahirkan ketika zaman industri semakin berkembang dengan pesat pada era tersebut.

Industri berkembang dengan pesat kesan daripada penciptaan enjin yang menggunakan kuasa wap air. Sejak daripada kecil lagi, Henry sangat meminati bidang kejuruteraan. Pada usia 13 tahun, beliau sudah mampu untuk membaiki jam poketnya sendiri dan juga jam milik jiran yang berada disekitarnya.

Jam poket pada masa itu menggunakan pergerakan makanikal dan bukannya pergerakan quartz seperti sekarang. Untuk seseorang budak yang berusia 12 tahun membaiki sebuah jam makanikal yang mempunyai gear yang sangat kompleks, Henry dikatakan amat berbakat besar di dalam bidang mekanikal.

Enjin stim merupakan teknologi yang berkembang dengan pesat ketika zaman remaja beliau dan menarik minat Henry untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam

Ketika berusia 16 tahun, Henry telah meninggalkan rumahnya kerana tidak berminat untuk mewarisi ladang milik keluarganya dan telah berhijrah ke bandar Detroit yang merupakan sebuah bandar industri. Pekerjaan pertama ketika tiba di bandar Detroit adalah sebagai seorang mekanik untuk sebuah syarikat perkapalan.Ketika bekerja di syarikat perkapalan ini, beliau telah mempelajari selok-belok mengenai enjin wap dengan lebih terperinci.

Setelah mendapat pengalaman yang berguna, beliau berkerja pula untuk syarikat Edison Illuminating Company pada tahun 1890 sebagai  seorang jurutera untuk bahagian operasi. Syarikat ini diasaskan oleh pencipta terkenal iaitu Thomas Edison. Setelah 3 tahun bekerja di syarikat tersebut, beliau telah dinaikan pangkat kepada ketua jurutera.

Thomas Edison yang merupakan bekas majikan Henry ford dan mereka berkawan baik sehingga akhir hayat  Edison

Di sinilah Henry telah membina beberapa prototaip kereta. Kereta yang dibinanya itu tidaklah seperti kereta sekarang, tetapi lebih kepada kereta kuda yang menggunakan enjin berkuasa petrol. Beliau mendapat galakan daripada Thomas Edison sendiri untuk membina kereta yang lebih berkuasa. Pada tahun 1889,dia telah mempatenkan karburetor ciptaannya sendiri.

Henry Ford bersama kereta ciptaan beliau yang pertama, Quadricycle

Pada tahun 1900, Henry telah mendapat dana daripada pelabur luar yang percaya akan kebolehannya mencipta kereta dan dapat dikomersialkan. Pada tahun itu juga, beliau telah meninggalkan Syarikat Edison Company dan menumpukan kepada penciptaan enjin kereta sepenuh masa.

Beliau yang mendapat duit pelaburan daripada para pelabur yang terkenal di Detroit dan menubuhkan syarikat automotif pertamanya yang bernama Detroit Automotive Company. Pada permulaan penubuhan syarikat ini, Henry telah memfokuskan pembinaan “Delivery Wagon” untuk golongan peniaga.

Delivery Wagon yang dihasilkan oleh syarikat pertama Ford, yang mana proses pembuatan kereta ini terlalu sukar menyebabkan syarikat tersebut memecat beliau sebagai presiden

Ini kerana gologan peniaga yang ingin membawa barang dagangan untuk berniaga dengan lebih jauh tanpa menggunakan perkhidmatan kereta api. Beliau menyedari untuk membina sebuah kereta pengangkut barang dalam kuantiti yang banyak adalah sebenarnya sukar, berbanding apa yang dirancangnya. Ini kerana kereta merupakan teknologi yang baru dan dikategorikan sebagai industri berat.

Dalam model perniagaan bagi Detroit Automotive Company ini, Henry menggunakan pihak ketiga untuk membuat sebahagian besar wagon manakala syarikatnya pula hanya membuat enjin untuk dimasukkan ke dalam wagon tersebut. Ini menimbulkan ketidak seragaman tempoh pembuatan. Jika pihak syarikat yang membuat wagon lambat menghasilkan wagon, syarikatnya tidak mampu untuk menyiapkan kenderaan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Untuk menyiapkan sebuah “delivery wagon”, ianya mengambil masa selama 6 bulan dan ini merupakan satu kerugian yang besar untuk  syarikat tesebut kerana mengambil masa yang terlalu lama untuk menyiapkan sesebuah kenderaan. Sepanjang penubuhan Detroit Automotive Company selama 2 tahun, hanya 20 sahaja “delivery wagon” yang dapat disiapkan oleh syarikatnya.

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelabur yang telah melabur duit dalam syarikat tersebut. Mesyuarat Agung Syarikat telah memutuskan untuk memecat Henry kerana dilihat tidak mampu untuk membawa hala tuju syarikat tersebut ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Henry yang pada masa itu hanya memegang saham sebanyak 15% terpaksa akur dengan pemecatan tersebut dan telah meninggalkan syarikat tersebut.

Selepas meninggalkan Detroit Automotive Company, beliau tidak berputus asa dengan dunia perindustrian automotif. Beliau segera menubuhkan sebuah lagi syarikat  automotif yang diberi nama Ford Motor Company. Dengan pengalaman yang telah dimiliki, kini Henry lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang mendatang.

Dia telah menukar model peniagaan dan kini fokus kepada kenderaan untuk yang lebih sesuai untuk kegunaan orang ramai. Henry mengambil pengajaran daripada kegagalan syarikat lama, dan beliau kini telah mempunyai golongan sasaran untuk produk yang bakal dihasilkan.

Kilang pertama milik Ford selepas kejayaan membangunkan model T yang menjadi model terlaris di dunia pada ketika itu

Henry mempunyai visinya yang tersendiri, iaitu ingin menukar presepsi masyarakat di mana kereta merupakan kenderaan bagi golongan yang berpendapatan tinggi. Beliau mahu setiap warga Amerika mampu untuk memiliki kenderaan mereka sendiri pada suatu hari. Ini merupakan visi yang sukar bagi Henry, tetapi beliau percaya bahawa tiada benda yang mustahil jika kita bersungguh-sungguh.

Langkah pertama yang diambil untuk menghasilkan kereta adalah dengan menggunakan seminimum yang mungkin syarikat pengeluar bagi komponen kenderaanya. Dengan kaedah ini, beliau dapat mengawal proses dan masa untuk menghasilkan sesebuah kereta dan dapat mengeluarkannya pada skala yang besar.

Pada permulaannya, syarikat Ford telah menghasilkan 20 rekabentuk kenderaan bagi mencari rekabentuk yang terbaik dan menarik untuk masyarakat Amerika secara umumnya. Henry memberi nama kepada kenderaan yang pertamanya sebagai model A. Kebanyakan model yang dikeluarkan oleh syarikat kereta Ford adalah berdasarkan kepada turutan abjad.

Setelah mendapat pengajaran daripada syarikat pertamanya yang gagal, Henry merubah corak pembuatan kereta dengan mengunakan teknik “assembly line”. Beliau mendapat inspirasi untuk menggunakan teknik ini selepas melawat rumah penyembelihan di Chicago. Beliau amat tertarik dengan susnan kerja yang dilakukan oleh syarikat penyembelihan tersebut dan terus mengaplikasi teknik tersebut dalam proses pembuatan kereta di kilangnya.

Teknik Assembly Line yang digunapakai oleh Ford telah meningkatkan pengeluaran kereta dan sekaligus menjadikan Ford di antara manusia terkaya di Amerika pada zamannya

Dengan mengguna teknik “assembley line” ini, Henry mampu meningkatkan pengeluaran kereta dari kilangnya itu dari setahun ke setahun dengan jualan yang semakin meningkat. Pada tahun 1905, syarikat Ford mempunyai seramai 300 orang pekerja dan dapat mengeluarkan 25 biji kereta setiap hari. Ford telah mengeluarkan kereta model N pada tahun 1906, dan ianya merupakan kereta terlaris di Amerika Syarikat pada ketika itu.

Model T adalah model yang paling laris dan pengeluarannya diteruskan sehingga hampir 20 tahun di pasaran

Kejayaan terbesar bagi Syarikat Ford adalah dengan pengenalan model T pada tahun 1908. Model ini merupakan model yang paling murah dikeluarkan oleh Ford dan yang paling lasak. Faktor kejayaan model T ini juga adalah disebabkan bahan yang digunakan untuk membuat kereta tersebut adalah daripada besi Vanadium yang mana merupakan besi yang paling keras dan lebih ringan berbanding besi lain.

Model T merupakan simbol kejayaan terbesar bagi syarikat Ford dengan pengeluaran selama hampir 20 tahun. Kebanyakan penduduk di Amerika Syarikat telah menggunakan kereta ini dalam kehidupan seharian mereka. Industri automotif di Amerika dapat berkembang dengan pesat disebabkan model ini.

Sepanjang tahun 1913 sehingga tahun 1927, Ford telah berjaya menjual sebanyak 15 juta unit kereta model T. Henry merupakan orang yang yang telah merubah cara pengurusan dan pembuatan industri automotif dunia. Beliau yang meletak jawatan sebagai CEO Ford pada tahun 1918, dan digantikan dengan anak lelakinya yang bernama Edisel Ford. Henry Ford meninggal dunia pada tahun 1947 ketika berusia 83 tahun.

Walaupun telah meninggal, Ford telah meninggalkan legasi yang terbaik dan telah menulis sebuah buku tentang dirinya sendiri pada tahun 1922 yang bertajuk “My Life And Work”. Sehingga kini, syarikat Ford merupakan di antara syarikat pengeluar kereta yang terbesar di dunia. Tahun lepas Syarikat Ford berada ranking no 6 dalam dunia industri automotif. Dengan pengalaman lebih daripada 100 tahun, syarikat ini sudah banyak mengalami jatuh bangun tetapi masih lagi kekal relevan sehingga hari ini.

Sumber Rujukan:

Komen

komen





Source link