Artikel Terkini

Hikmah COVID-19: Inilah Masanya Untuk Muhasabah Kewangan


Wabak
COVID-19 yang melanda seantero dunia pada ketika ini memberi pelbagai implikasi
ekonomi, sosial dan politik kepada penduduk dunia.  Kesan yang ketara akibat wabak ini ialah kesediaan
anggota barisan hadapan bagi memerangi wabak ini hingga ke garisan
penamat.  Dalam masa yang sama, kesan
kewangan kepada pengguna tidak dapat dielakkan yang memungkin kita perlu
bersedia untuk mendepani situasi kehidupan dengan normal baharu. 

COVID-19
merubah segalanya, wabak ini secara langsung telah merubah struktur kehidupan
masyarakat dan memberi impak kepada landskap kewangan pengguna secara amat dramatik.  Walau bagaimanapun, setiap bencana itu pasti
ada hikmahNYA.  Bagi mengatasi kesukaran
masyarakat dalam menghadapi kesulitan ini, kerajaan Malaysia telah melancarkan
pakej bantuan PRIHATIN dalam bentuk bantuan kewangan.  Antaranya memberikan pakej moratorium
kewangan dengan penangguhan bayaran pinjaman di institusi kewangan yang diharap
dapat mengurangkan tekanan ekonomi kepada masyarakat, khasnya pengguna. 

Tempoh
moratorium kewangan yang diberikan selama 6 bulan dilihat berupaya mengimbangi
tekanan kewangan yang dihadapi oleh rakyat jelata dalam suasana bencana
ini.  Justeru itu, penstrukturan semula
aliran tunai perlu dilakukan oleh pengguna dengan serta merta.  Peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan
dalam menangani isu kewangan perlu diuruskan dengan bijak agar tidak menyimpang
daripada matlamat bantuan yang diberikan. 
Dalam hal ini, pengguna perlu melakukan muhasabah kewangan dengan
meneliti semula struktur pendapatan dan perbelanjaan yang sedia ada. 

Sesungguhnya
Malaysia bumi bertuah, di sebalik bencana global COVID-19 yang melanda negara,
kerajaan tampil dengan pakej kewangan prihatin bagi membantu pengguna
menghadapi kesukaran kewangan pada masa kini. Di samping pakej ransangan
ekonomi dan moratorium kewangan yang disediakan untuk manfaat pengguna,
kerajaan Malaysia sebenarnya telah lama bersedia dalam menghadapi kegetiran masalah
kewangan pengguna dengan menyediakan platform khidmat kaunseling kewangan yang
diuruskan oleh pihak Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (AKPK).  AKPK memainkan peranan yang utama dalam
memberi perkhidmatan kaunseling dan bimbingan kepada pengguna dalam mengamalkan
pengurusan kewangan berhemat sebagai budaya hidup. 

AKPK
yang beribu pejabat di Bangunan Maju Junction Kuala Lumpur mempunyai kakitangan
yang berkepakaran dalam melaksanakan kaunseling kewangan kepada pengguna yang menghadapi
masalah dalam pengurusan kewangan.  AKPK
juga beroperasi hampir di kesemua cawangan seluruh negara termasuklah di Sabah
dan Sarawak. Oleh itu, terpulanglah kepada pengguna untuk menentukan
kesejahteraan kewangan masing-masing secara bijak demi manfaat masa hadapan
yang lebih baik.  Kesemuanya telah
disediakan oleh pihak kerajaan dan agensi yang berkaitan. Tepuk dada tanya
minda! Bertindaklah sebelum terlambat bagi memastikan iklim kewangan pengguna
berada ditahap yang paling kondusif seiring dengan tingkat pendapatan dan
perbelanjaan yang direncanakan.

Dalam
hal ini, pengguna dinasihatkan agar melakukan muhasabah kewangan terutama dalam
penentuan ke atas objektif penggunan kewangan. 
Objektif penggunaan ke atas pendapatan atau sumber kewangan yang ada
perlu disusun semula bagi menyesuaikan bebanan hutang kewangan yang perlu
ditanggung.  Oleh itu, manfaat moratorium
kewangan perlu digunakan sebaik mungkin dengan menyusun semula struktur bebanan
hutang yang perlu dilangsaikan oleh pengguna. 
Sekurang-kurangnya selepas tamat tempoh moratorium kewangan pada bulan
September nanti, bebanan hutang yang ditanggung pengguna hampir berkurangan
ataupun telah selesai.   

Contohnya,
penyelesaian hutang kad kredit boleh dilaksanakan dengan menggunakan peruntukan
moratorium kewangan yang diberikan ke atas pinjaman kenderaan, pinjaman
perumahan dan pinjaman peribadi yang ditanggung oleh pengguna. Kesempatan ini
perlu dimanfaatkan dengan baik bagi memulihkan struktur kewangan pengguna.  Elemen muhasabah kewangan yang perlu dilakukan
ialah dengan mengkaji semula bajet kewangan dengan sebaiknya.  Perbelanjaan secara berjimat perlu
dilaksanakan berasaskan objektif keperluan dan bukannya untuk memenuhi tujuan
kehendak semata-mata.  Senarai
perbelanjaan yang berobjektif perlu disediakan sebelum sesuatu transaksi
perbelanjaan dilaksanakan.  Langkah ini
dapat mengelakkan masalah ketirisan dalam penggunaan kewangan. 

Pada
masa kini, kehendak nafsu dalam berbelanja perlu dikawal dengan sepenuh jiwa.  Disiplin dan ketegasan dalam perbelanjaan perlu
diterapkan dalam diri setiap pengguna. 
Hal ini amat perlu bagi memastikan matlamat yang telah dirancang berjaya
dilaksanakan dengan sebaiknya.  Sematkan ingatan
dalam diri sendiri bahawa dalam setiap sesuatu perbelanjaan “kita yang mengawal wang! Bukannya wang
yang mengawal diri kita!”

Dalam
menghadapi situasi kewangan yang penuh mencabar ini, pengguna dinasihatkan agar
sentiasa peka dengan status aliran tunai dari semasa ke semasa.  Memahami status aliran tunai diibaratkan
seperti memeriksa tahap kesihatan diri setiap individu.  Aliran tunai merupakan suatu penanda aras
kesihatan kewangan pengguna yang perlu dikenal pasti bagi memastikan tahap daya
upaya kewangan berfungsi dengan sinergi yang luar biasa. 

Pendemik
kewangan harus dikawal agar perbelanjaan yang dilakukan tidak melebihi jumlah kemampuan
pendapatan yang ada.  Hal ini dapat
mengelakkan virus defisit dalam kesihatan kewangan pengguna.  Defisit adalah kurangan dalam sumber kewangan
yang menjadi bebanan kepada pengguna bagi menguruskan keperluan diri dan
keluarga. 

Virus
defisit kewangan boleh menyebabkan sintom jangkitan kewangan yang merebak dalam
bentuk penciptaan hutang baharu. Oleh itu, bagi mengelakkan masalah defisit
kewangan, amalan berbelanja secara berhemat perlulah diutamakan demi memastikan
kesejateraan aliran tunai dapat berlangsung dengan cekap.

Dalam
menghadapi wabak COVID-19, daya tahan kewangan pengguna perlu diperkasakan
dengan melipat gandakan amalan tabungan yang lebih komprehensif. Terdapat pelbagai
platform tabungan yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna seperti tabungan
pendidikan anak-anak, tabungan persaraan, tabungan Haji serta pelbagai lagi
dana tabungan yang diiktiraf oleh kerajaan. 
Hal ini penting agar masa depan kewangan pengguna sentiasa berada dalam
keadaan bersedia dalam segala kemungkinan berbentuk kemelesetan ekonomi dan
kewangan.

Bagi
mengukuhkan daya tahan kewangan, dalam masa yang sama pengguna juga perlu
memberi pertimbangan terhadap perlindungan risiko kewangan berbentuk takaful
dan insuran.  Hal ini penting bagi meminimumkan
risiko kewangan yang dihadapi dengan sistematik agar tidak menjadi bebanan yang
lebih dramatik dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi di masa hadapan. 

Ringkasnya, COVID-19 yang
sedang kita perangi kini perlulah dihadapi dengan positif melalui muhasabah
kewangan yang penuh istiqamah dengan perbelanjaan yang paling berhemah.  Oleh itu, pengguna perlu mengelakkan hutang
kewangan dengan meningkatkan tabungan, melakukan modifikasi kewangan demi masa depan
ekonomi keluarga yang lebih mapan dan berwawasan.

Artikel ini adalah hasil tulisan dan pandangan daripada Dr. Azwan bin Abdullah, Pensyarah Kanan, Fakulti Keusahawan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan dan Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (INSPEK), Universiti Malaysia Kelantan.

Sekiranya anda memerlukan khidmat AKPK yang boleh didapati secara percuma, layari laman web AKPK untuk maklumat lanjut.



Source link