Artikel Terkini

Indeks pembinaan naik berikutan kerajaan benarkan projek utama sambung operasi



KUALA LUMPUR: Kemajuan projek-projek pembinaan negara termasuk projek mega terhenti apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun, kerajaan mula membenarkan projek pembinaan penting seperti MRT2 dan LRT3 untuk menyambung semula operasi mereka secara berperingkat minggu depan berikutan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Sehingga 9.55 pagi, indeks pembinaan naik 1.52 peratus kepada 159.76 dengan Gamuda menjadi antara kaunter paling untung selepas melonjak sembilan sen kepada RM3.24 berikutan syarikat itu terlibat dalam kedua-dua projek mega tersebut.

Pemegang saham syarikat itu terdiri daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dengan kepentingan sebanyak 12.1 peratus, diikuti Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) sebanyak 6.07 peratus dan Skim Amanah Saham Bumiputera sebanyak 5.64 peratus.

MITI berkata industri yang dibenarkan untuk menyambung semula operasi pada kapasiti 50 peratus sebelum ini, kini boleh beroperasi sepenuhnya tetapi dengan mematuhi semua garis panduan ketat yang telah ditetapkan oleh MITI dan Kementerian Kesihatan.

“Walaupun kerajaan memberi sedikit kelonggaran, pemilik perniagaan masih perlu mematuhi ‘norma baharu’ dengan mematuhi peraturan penjarakan sosial di tempat kerja dan garis panduan kawalan kesihatan,” menurut MITI dalam kenyataan semalam.

Walaupun ekonomi dibuka semula secara berperingkat, Malaysia masih di bawah PKP hingga 12 Mei.

Sehingga semalam, negara mencatatkan 31 kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 5,851 kes dan 100 kematian.

Jumlah yang pulih daripada COVID-19 sebanyak 4,032 kes. – BERNAMA





Source link

Related Posts