Artikel Terkini

Ini 4 Tumpuan Utama Pasaran Global Minggu Ini (9–13 Disember 2019)


Pasaran Wall Street pada akhir dagangan minggu lalu ditutup lebih tinggi dipacu oleh kukuhnya data pekerjaan di Amerika Syarikat (AS). Keyakinan pelabur terhadap rundingan perdagangan Amerika Syarikat – China turut menjadi pemangkin kenaikan pasaran menjelang tarif baru pada 15 Disember, sekaligus meningkatkan citarasa pelabur terhadap risiko.

Ketiga-tiga indeks
saham utama di Amerika Syarikat merekodkan kenaikan lebih daripada 0.9%
di mana Nasdaq dan Dow Jones Industrial Average (DJIA)
masing-masing mencatat kenaikan 1.00% dan 1.22%. S&P 500 pula ditutup 0.91%
lebih tinggi berbanding sesi dagangan sebelum itu.

Tiga indeks utama ini berhadapan dengan tekanan sepanjang minggu lalu berikutan keadaan pasaran yang tidak menentu terutamanya pada empat sesi dagangan awal Isnin hingga Khamis. Ia adalah disebabkan perkembangan negatif berita tentang isu perdagangan dan juga data ekonomi AS yang kurang memberangsangkan.

Disebabkan hal ini, hanya indeks S&P 500 yang merekodkan kenaikan bersih sepanjang minggu lalu, manakala Dow Jones dan Nasdaq ditutup lebih rendah berbanding paras harga penutup pada minggu sebelum itu.

Ekonomi Amerika Syarikat pada bulan November menambah sebanyak 266,000 pekerjaan dalam sektor bukan perladangan (Non-Farm Payroll) iaitu kenaikan tertinggi dalam tempoh 10 bulan lepas. Dalam masa yang sama data kadar pengangguran juga berkurangan ke paras 3.5%. Ini menunjukkan keadaan semasa ekonomi yang kukuh di negara itu sekaligus memberikan keyakinan kepada perniagaan.

Data Non-Farm Payroll
(NFP) inilah yang memangkin pengukuhan mendadak pasaran Wall Street pada akhir dagangan minggu lalu. Sebelum itu, pasaran tertekan disebabkan deretan data ekonomi Amerika
Syarikat yang menunjukkan penguncupan aktiviti dalam sektor perkhidmatan dan
pembuatan.

Pelabur-pelabur menolak nilai aset berisiko lebih tinggi
dengan andaian bahawa ekonomi AS tidak lah hampir dengan kemelesetan seperti
yang dibimbangi sebelum ini berikutan perang dagang antara dua kuasa besar
ekonomi dunia. Dalam perkembangan baru, penasihat ekonomi Presiden Trump, Larry
Kudlow mengatakan perjanjian fasa satu dengan China semakin hampir dicapai dan
menyatakan kemajuan dalam rundingan.

Minggu ini beberapa pemangkin pasaran dijangka akan menolak pasaran ke paras yang lebih tinggi dengan dua bank pusat utama akan menetapkan dasar monetari masing-masing. Dalam masa yang sama pelabur juga akan terus memerhatikan perkembangan perang dagang menjelang tarif baru pada 15 Disember.

Berikut adalah empat catalyst utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Penetapan Dasar Monetari Federal Reserve

Tahun ini sahaja, Federal Reserve (The Fed) telah menurunkan kadar faedah sebanyak tiga kali berikutan kebimbangan bank pusat terhadap ekonomi global yang semakin perlahan. Namun, mesyuarat kali ini bank pusat dijangka akan mengekalkan kadar di paras semasa.

Tumpuan akan lebih terarah kepada komen-komen yang diberikan oleh Pengerusi Jerome Powell terutamanya dalam sesi soal-jawab bersama wartawan.

Walaupun kenyataan Powell sebelum ini menunjukkan ekonomi
kekal kukuh, tetapi beberapa data pada minggu lalu memperlihatkan aktiviti
ekonomi telah menguncup di Amerika Syarikat. Respon Powell terhadap data yang meleset pada minggu lalu dengan
lonjakan data pekerjaan NFP akan menjadi perhatian pasaran pada Khamis pukul 3
pagi waktu Malaysia.

Di samping keputusan dasar, bank pusat juga akan mengeluarkan
unjuran ekonomi di masa akan datang. Sudah tentu analisis ‘dot-plot’ akan menjadi perhatian utama dalam mesyuarat kali ini.
Setakat ini pemotongan kadar faedah oleh bank pusat dinilai sebagai berkesan
apabila data NFP minggu lalu merekodkan bacaan tertinggi sejak 10 bulan yang
lalu.

2. Mesyuarat Pertama Christine Lagarde

Ini akan menjadi mesyuarat pertama Christine Lagarde membuat
keputusan dasar monetari European Central
Bank
(ECB) selepas menggantikan Presiden terdahulu Mario Draghi. Setakat ini Lagarde dilihat seorang yang
bersikap ‘dovish’ yang menyokong
‘Pelonggaran Kuantitatif’ dan kadar faedah rendah.

Untuk mesyuarat kali ini, pasaran tidak menjangkakan sebarang
perubahan terhadap dasar monetari. Walaupun masih baru, Lagarde yang mempunyai
pengalaman mengetuai International
Monetary Fund
(IMF) berhadapan dengan tekanan untuk memulihkan semula pertumbuhan
ekonomi di Zon Eropah.

Setiap kata-kata Lagarde dalam sesi soal-jawab bersama wartawan akan diteliti terutamanya pendapat beliau tentang dasar yang bersesuaian. ECB akan mengeluarkan kenyataan selepas mesyuarat pada hari Khamis (12 Disember 2019) pukul 8.45 malam dan diikuti sidang media Lagarde pada pukul 9.30 malam.

3. Tarif Baru 15 Disember 2019

Amerika Syarikat dan China terus berusaha untuk mencapai
perjanjian ‘fasa-pertama’ perdagangan yang mampu memulihkan semula situasi perang
dagang yang telah berlangsung selama 17 bulan.

Ahad (15 Disember 2019) akan menjadi tarikh penting kerana tarif baru terhadap China akan dikuatkuasakan walaupun isu perang dagang telah menyebabkan penguncupan aktiviti ekonomi di Amerika Syarikat. Data pada minggu lau menunjukkan eksport China merosot untuk bulan keempat berturut-turut pada bulan November ditekan oleh perang perdagangan dengan AS.

Ramai yang melihat China terdesak untuk mendapatkan perjanjian tetapi pegawai dari Washington yang sentiasa meyakinkan pasaran bahawa adanya kesinambungan dalam kemajuan rundingan antara dua pihak. Untuk pengetahuan anda, tariff baru AS terhadap China pada 15 Disember ini berjumlah US$160 Billion. Jika ia benar-benar dilaksanakan, maka kita akan melihat kejatuhan pasaran saham Wall Street dan seterusnya pasaran ekuiti global.

4. Pilihanraya Umum United Kingdom

Rakyat United Kingdom akan keluar mengundi pada hari Khamis (12 Disember 2019) dan pasaran dijangka akan mendapat keputusan penuh pada petang hari Jumaat waktu Malaysia. Pilihanraya ini penting untuk diteliti kerana ia bakal menatijahkan halatuju kerajaan dalam isu Brexit.

Setakat ini, pungutan
suara yang dibuat menunjukkan Parti Konservatif mendapat sokongan yang lebih
besar berbanding Parti Buruh yang diketuai oleh Jeremy Corbyn.
Ia sekaligus menolak matawang
Sterling lebih tinggi walaupun Parti Konservatif akan meneruskan langkah
mengeluarkan UK dari Kesatuan Eropah (EU).

Walaubagaimanapun, Perdana Menteri berkemungkinan tidak
mendapat mejoriti yang beliau inginkan untuk memudahkan kelulusan rang
undang-undang di House of Commons.
Ini akan menyebabkan isu Brexit terus tergantung dan sukar untuk diselesaikan.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.investing.com/news/stock-market-news/renewed-hopes-of-trade-deal-push-wall-street-higher-2033474
  2. https://www.bloomberg.com/news/articles/2019-12-05/asia-stocks-set-for-muted-start-treasuries-slip-markets-wrap
  3. https://www.investing.com/news/economic-indicators/wall-street-week-ahead-tariff-deadline-keeps-focus-on-trade-as-2019-draws-to-close-2035762
  4. https://www.investing.com/analysis/key-market-drivers-ahead-uk-election-central-bank-decisions-trade-update-200491003
  5. https://www.bloomberg.com/news/articles/2019-12-07/traders-brace-for-wild-week-awaiting-central-banks-u-k-vote
  6. https://www.cnbc.com/2019/12/06/cramer-week-ahead-lululemon-autozone-costco-adobe-and-more-earnings.html
  7. https://www.investing.com/analysis/week-ahead-array-of-fundamental-catalysts-will-spur-next-major-market-moves-200491028
  8. https://www.reuters.com/article/us-usa-fed-outlook/as-fed-reiterates-rate-pause-forecasts-likely-to-be-blown-off-course-idUSKBN1YC0LZ
  9. https://www.dailystar.com.lb/Business/International/2019/Dec-09/497044-five-things-to-watch-out-for-this-week.ashx

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen





Source link