Artikel Terkini

Ini Sebab Mengapa Sempadan Ireland Sangat Penting Dalam Perjanjian Brexit


Sempadan di antara Republik Ireland dan Ireland Utara mempunyai sejarah hitam yang melibatkan peristiwa tegang dan kematian ribuan nyawa. Hampir dua dekad selepas berakhirnya konflik yang meragut 3,600 nyawa, sempadan itu sekali lagi menjadi pertelingkahan di antara kedua-dua wilayah.

Kebanyakan penduduk dari dua wilayah Republik Ireland (negara merdeka) dan Ireland Utara (sebahagian daripada UK) tidak terlibat dalam konflik keganasan yang berlaku, tetapi mereka menjadi mangsa pengeboman dan tembakan sejak berdekad lamanya sehingga tahun 1998.

Konflik berakhir secara rasmi melalui perjanjian yang
disebut sebagai ‘Good Friday Agreement’
pada tahun 1998. Namun, perjanjian damai itu tidak dapat menyembuhkan luka yang
dirasai oleh penduduk Ireland Utara. Buktinya selepas pengeboman yang berlaku
lebih dari 20 tahun yang lalu, ketegangan terus wujud di kepulauan Ireland.

Dan sekarang, Brexit – keputusan untuk UK meninggalkan
Kesatuan Eropah sekali lagi mengancam keamanan di Ireland Utara.

Mengapa
Ireland sangat penting dalam perjanjian Brexit?
Sempadan terbuka di kepulauan
Ireland telah banyak menyelesaikan konflik di wilayah itu berdekad lamanya.
Sempadan terbuka menjadikan ‘puak penyatu’ di Ireland Utara merasa selamat
sebagai sebahagian daripada Britain manakala ‘penyokong republikan’ dapat
merasa mereka terus terhubung dengan Republik Ireland di selatan.

Kesatuan
Eropah (EU) dan pasaran tunggal adalah penyumbang kepada sempadan terbuka itu
bagi mengelak pemeriksaan di perbatasan dua wilayah.
Jika Ireland Utara
meninggalkan EU bersama-sama dengan Britain di sinilah perlunya peranan UK
untuk mendapatkan penyelesaian bagi mengekalkan sempadan terbuka dan keamanan
di wilayah tersebut.

Apabila tiba masanya untuk Britain keluar dari
Kesatuan Eropah, sempadan di kepulauan Ireland itu akan menjadi satu-satunya
jalan yang menghubungkan kedua-dua wilayah. Buat masa ini sempadan itu kekal
terbuka di mana siapa sahaja bebas untuk pergi dan balik melaluinya.

Bagaimana Sempadan Di Ireland Boleh Wujud?

Pulau tersebut terpisah pada tahun 1921 sebagai
sebahagian daripada perjanjian damai antara kerajaan UK dan pemberontak
Ireland. Perjanjian itu mengiktiraf Ireland Selatan dengan majoriti penduduk
beragama Kristian Katolik sebagai sebuah negara yang bebas dan mendapat
kemerdekaan sepenuhnya pada tahun 1948. Manakala Ireland Utara di mana majoriti
penduduknya adalah Kristian Protestan kekal bersama UK, Scotland dan Wales.

Proses
pemisahan di Ireland berlaku pada tahun 1921 melalui Akta Kerajaan Ireland 1920
di mana kerajaan UK dan Ireland membahagikan kepulauan itu kepada dua bahagian
politik yang mana Ireland Utara kini sebahagian daripada UK dan Republik
Ireland sebuah negara yang bebas.

Akta tersebut bertujuan untuk menghasilkan dua
kerajaan tersendiri di Ireland dengan kedua-duanya masih kekal di dalam UK.
Walaubagaimanapun, pada tahun 1922 selepas Peperangan Kemerdekaan (1919-1921),
Ireland Selatan dan Ireland Barat menjadi sebuah negara yang bebas, manakala
Ireland Utara memilih untuk kekal di dalam United Kingdom.

Adakah Brexit Akan Mengembalikan Pemeriksaan Rapi Di Sempadan?

Ini adalah senario yang mungkin berlaku di mana
terdapat kawalan ketat di sempadan tersebut. Buat masa ini sempadan itu adalah
terbuka yang hanya dipisahkan oleh padang, sungai dan beberapa kawasan
perumahan. Jika penguatkuasaan sempadan diaktifkan ia dijangka akan memperlahankan
pergerakan pengangkutan di sempadan dan juga melibatkan kos yang tinggi bagi
pembinaan sempadan.

Dalam
tinjauan terbaru yang dibuat oleh tentera Ireland menunjukkan terdapat 300
lintasan di sepanjang 500KM sempadan Ireland yang kebanyakan darinya adalah
kawasan persendirian dan laluan yang tidak ditandakan sebagai sempadan.
Hanya jalan raya yang
boleh menentukan sama ada seseorang telah melalui sempadan melalui papan tanda
yang diletakkan.

Apakah Pendirian Penduduk Ireland Utara?

Ireland
Utara memilih untuk kekal di dalam EU dalam referendum Brexit yang berlangsung
pada Jun 2016 dengan 56% undian ketika itu.
Namun, populasi Ireland Utara jauh
lebih kecil daripada keseluruhan populasi di United Kingdom – hanya 3 peratus
atau 1.8 juta penduduk yang mana tidak banyak dapat mengubah hasil referendum
yang berakhir dengan Brexit menang 52% berbanding 48% yang mahu kekal di dalam
blok Eropah.

Parti
Kesatuan Demokratik Ireland Utara (DUP) dilaporkan enggan menyokong perjanjian
yang dicadangkan oleh Boris Johnson dalam undian yang dijalankan pada 19
Oktober 2019 di Parlimen UK.

Sumber DUP memaklumkan ia tidak dapat menyokong isu
kastam dan pengaturan cukai jualan, kerana ia bakal termaktub di bawah
peraturan EU walaupun Ireland Utara kekal di dalam wilayah Britain.

Di antara kebimbangan pihak DUP adalah berkaitan
pergerakan barangan perdagangan tidak kira ke mana destinasi barangan itu yang
berkemungkinan tertakluk di bawah kekuasaan EU. Bermakna di sini, Kesatuan
Eropah mempunyai kuasa untuk mengenakan tarif atau sebaliknya; kepada barangan
yang melalui sempadan di Ireland.

Keadaan
semasa perjanjian Brexit

Rundingan Brexit di bawah bekas perdana menteri UK
Theresa May telah gagal mendapat sokongan dari Parlimen Britain hinggalah
beliau dipaksa untuk meletakkan jawatan. Kini perkara yang sama berlaku kepada
Boris Johnson selaku perdana menteri baru yang masih menemui jalan buntu untuk
mendapat sokongan majoriti di parlimen walaupun perjanjian telah dipersetujui
bersama pihak Eropah.

Tarikh keluar UK daripada EU kini telah dilanjutkan sehingga 31 Januari 2020 bagi menyelesaikan kemelut yang melanda ini.

Sumber
Rujukan:

  1. https://www.theguardian.com/politics/2019/oct/02/two-borders-four-years-what-boris-johnson-brexit-offer
  2. https://www.opendemocracy.net/en/can-europe-make-it/irish-border-contradictions-and-chaos-how-will-brexit-affect-northern-ireland/
  3. https://www.washingtonpost.com/world/2019/10/17/what-is-happening-with-brexit-now-boris-johnsons-plans-irish-border-eu-explained/
  4. https://www.vox.com/world/2019/2/18/18204269/brexit-irish-border-backstop-explained
  5. https://en.wikipedia.org/wiki/Republic_of_Ireland%E2%80%93United_Kingdom_border
  6. https://en.wikipedia.org/wiki/Derry
  7. https://en.m.wikipedia.org/wiki/Partition_of_Ireland

Ditulis oleh Roland Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen





Source link