Artikel Terkini

Ini Sebab Utama Kenapa Orang Berebut Beli Rumah Selepas PKP


Harga rumah yang turun menjadi faktor utama pembeli rumah di Malaysia untuk membeli selepas perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Benarlah cakap orang – selepas hujan, pasti ada pelangi. Walaupun ada kebimbangan pasaran hartanah akan menguncup susulan wabak pandemik COVID-19, pembeli rumah di Malaysia masih kekal optimistik.

Inilah dapatan hasil tinjauan bertajuk ‘Corak Pembelian Rumah Pasca-PKP’ yang dilakukan oleh KGV International Property Consultants.

Menurut KGV, pembeli rumah di Malaysia masih yakin dengan kelasakan pasaran hartanah tempatan walaupun wabak COVID-19 telah menyebabkan kejatuhan harga minyak dunia dan pasaran saham.

Ia tidak mengejutkan memandangkan pasaran hartanah pasca-PKP amat memihak kepada pembeli berbanding pemaju. Semakin rendah harga rumah jatuh berbanding sebelum PKP, semakin tinggi kemahuan pembeli untuk membeli rumah.

Gaji rakyat Malaysia diramal naik 5.2% untuk 2019

Kredit : milosuam.net

Lokasi rumah kurang penting

Tinjauan KGV International berlangsung selama dua minggu dan telah mengumpul 621 responden yang rata-ratanya menetap di Johor (53%), Selangor (23%) dan Kuala Lumpur (13%).

38% responden memperolehi pendapatan isi rumah bulanan melebihi RM20,000. 31% lagi memperolehi pendapatan isi rumah bulanan antara RM5,001 hingga RM10,000. Selebihnya berpendapatan isi rumah bulanan kurang RM5,000 sebulan.

Memandangkan sebahagian besar responden tinjauan ini berpendapatan tinggi, maka tak hairanlah sebahagian besarnya berumur 41 tahun ke atas (53%) dan mempunyai sekurang-kurangnya satu rumah (84%).

Hasil tinjauan mendapati hampir 70% responden meletakkan harga rumah sebagai faktor utama membeli rumah selepas PKP. Hanya 18.7% responden yang mengambil kira lokasi rumah sebagai faktor utama.

43% daripada mereka tidak kisah sama ada rumah yang dibeli itu rumah baru atau rumah subsale (rumah yang dibeli daripada pemilik), asalkan harga dan lokasinya sesuai. 35% responden lebih cenderung memilih rumah baru – barangkali untuk mendapat manfaat Kempen Pemilikan Rumah 2020 (HOC 2020).

Kempen Pemilikan Rumah (HOC) Kembali Untuk Tahun 2020 ...

Kredit : Property Guru

Bajet harga rumah pembeli selepas PKP

Bercakap tentang bajet harga rumah pula, sekitar 19% mahu membeli rumah berharga bawah RM300,000. 33% responden lagi melihat rumah yang berharga antara RM300,000-RM500,000 sebagai pilihan utama mereka.

Majoriti responden tinjauan ini memilih untuk membeli rumah yang berharga antara RM500,000-RM1 juta (36.2%). Bagi rumah yang berharga lebih RM1 juta, hanya 11.3% responden yang menunjukkan minat.

Meskipun tinjauan KGV International ini mendapati trend membeli rumah di Malaysia masih kuat, ia juga menunjukkan kecenderungan tak sihat hampir 40% responden yang masih memerlukan margin pinjaman perumahan sebanyak 90% untuk membeli rumah.

Satu lagi dapatan yang mengejutkan daripada tinjauan ini adalah kebanyakan responden cenderung memilih tempoh kurang 20 tahun (31%) dan 30 tahun (30%) untuk pinjaman perumahan mereka. Hanya 8% yang memilih pinjaman perumahan bertempoh kurang 40 tahun.

Belanjawan 2020: Skim Perumahan Belia dilanjutkan | Harian Metro

Kredit : Harian Metro

Pembeli optimistik tapi masih berhati-hati

Majoriti responden (61%) optimistik pasaran hartanah di Malaysia akan kembali rancak dalam masa 2-3 tahun.

Bagaimanapun disebalik keyakinan mereka terhadap kelasakan pasaran hartanah tempatan, majoriti mereka (37.8%) masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat. 30% lagi merancang untuk membeli rumah dalam masa 1-2 tahun disebalik ketidaktentuan ekonomi.

Ini bermakna pembeli rumah, sama ada pembeli rumah pertama atau pelabur hartanah, rata-ratanya sedang meninjau projek-projek perumahan yang bersesuaian. Cuma mereka perlukan ‘tarikan’ untuk membeli.

Ketika ditanya mengenai apa tarikan yang akan membuatkan membeli rumah, 91% responden mahu melihat pemaju memberikan diskaun yang lebih besar.

Insentif kerajaan yang memperkenalkan semula HOC 2020 yang mengecualikan pembeli rumah pertama daripada membayar duti setem, juga merangsang 89% minat responden untuk membeli. Ini diikuti dengan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (RGPT) yang menarik minat 90% responden untuk membeli.

Penurunan kadar faedah hasil penurunan kadar OPR oleh Bank Negara Malaysia pula membuatkan 89% responden berminat untuk membeli rumah selepas PKP.

DIKEMASKINI] Pengecualian Untuk CKHT (Cukai Keuntungan Harta Tanah ...

Kredit : Property Guru

Kesimpulan

Hasil tinjauan KGV International ini menunjukkan rakyat Malaysia masih mempunyai minat untuk membeli rumah di sebalik prestasi ekonomi negara (dan dunia) yang merudum akibat wabak COVID-19.

Bagaimanapun harga rumah masih menjadi faktor utama bagi 35.6% responden tidak membeli walaupun berminat.

30% lagi responden tidak membeli kerana takut prestasi ekonomi akan jatuh lagi selepas ini walaupun berminat.

Satu perkara yang pasti adalah selepas kemelut wabak COVID-19 ini berakhir, fenomena yang dipanggil sebagai ‘property bull runakan berlaku.

Dalam property bull run, harga rumah akan naik mencanak-canak seperti mana yang telah kita saksikan selepas insiden krisis kewangan Asia 1998 dan krisis kewangan global 2008.

Jika anda sedang berkira-kira untuk membeli rumah pertama, masa untuk membeli adalah sekarang.

Mengapa?

Pertama, kerana Bank Negara Malaysia telah menurunkan OPR kepada 1.75%.

Kedua, kerana kerajaan telah memperkenalkan banyak insentif kepada pembeli rumah pertama dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Anda boleh baca artikel kami lepas mengenai manfaat yang akan anda dapat di sini.

Ketiga, kerana sudah banyak pihak pemaju menawarkan pelbagai insentif seperti diskaun, rebat dan sebagainya kepada pembeli rumah.

Apa yang ditakuti adalah jika anda menunggu lama-lama, OPR akan naik semula. Kemudian insentif kerajaan dalam PENJANA akan tamat (31 Julai 2021). Akhirnya property bull run akan berlaku.

Apabila property bull run berlaku, anda boleh ucap selamat tinggal kepada diskaun daripada pemaju dan rumah pertama idaman anda.

Sumber:

  1. What Property Buyers Want, EdgeProp.my (22 Mei 2020)
  2. https://www.bnm.gov.my/index.php?ch=mone&pg=mone_opr_stmt
  3. https://www.hihome.asia/news/macam-mana-nak-skip-bayar-duti-setem-beli-rumah-2020





Source link