Artikel Terkini

Internet Percuma Sepanjang Tempoh PKP


Semua pelanggan pascabayar dan prabayar syarikat telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile akan menerima internet berkelajuan tinggi percuma 1GB sehari, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 April.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan percuma itu boleh digunakan antara pukul 8.00 pagi dan 6.00 petang.

Pakej khas lain yang disediakan adalah panggilan percuma ke talian hotline National Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC), Pusat Pengurusan Operasi Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Inisiatif itu merupakan antara pakej khas yang akan ditawarkan dengan nilai RM600 juta yang merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, untuk membantu rakyat yang terkesan akibat impak koronavirus (Covid-19).

“Syarikat-syarikat telekomunikasi juga turut memberi komitmen untuk melabur RM400 juta sehingga suku kedua tahun ini untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan.

“Pelaburan ini juga akan meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian untuk tapak kritikal seperti hospital, agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pusat-pusat media,” menurut kenyataan itu.

SKMM yakin inisiatif-inisiatif yang diumumkan ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19, di samping membolehkan kesalinghubungan yang berterusan supaya rakyat melaksanakan tugasan harian mereka dengan lebih efisien.

Sementara itu, SKMM turut memaklumkan syarikat perkhidmatan pos dan kurier utama turut bersedia untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran tidak melebihi satu kilogram pada caj RM5 tidak termasuk cukai bagi perkhidmatan penghantaran domestik, selama enam bulan bermula 15 April.

Katanya kadar itu hanya ditawarkan kepada pengguna yang berdaftar di portal digital setiap penyedia perkhidmatan pos dan kurier, bertujuan untuk meningkatkan kecekapan usahawan dalam menguruskan kiriman serta menggalakkan penggunaan kaedah tanpa tunai. – Bernama



Source link