Artikel Terkini

Itali perlu kesedaran lebih tinggi tentang produk dengan minyak sawit lestari – Laporan



MANCHESTER: Kesatuan Minyak Sawit Lestari Itali mengenal pasti lima cabaran dalam menggalakkan budaya kelestarian bagi komoditi itu di Itali, yang termasuk kurangnya pengiktirafan ke atas produk mengandungi minyak sawit lestari yang diperakui.

Kesatuan itu berkata industri tersebut juga berdepan dengan kritikan terhadap minyak sawit oleh media dan ahli politik serta penggunaan meluas dakwaan “palm oil free” (tiada penggunaan minyak sawit); kurang perbincangan berdasarkan bukti saintifik dan perbahasan umum yang hanya menumpukan kepada aspek kesihatan dan pemakanan.

Daripada aspek pengguna, mereka kurang terlibat dalam isu penebangan hutan dan tidak mendapat maklumat yang betul mengenai adanya pensijilan lestari, kata kesatuan itu yang juga dikenali sebagai Unione Italiana Olio Di Palma Sostenibile, dalam laporan tahunan 2019.

Justeru itu, kesatuan tersebut berkata industri Itali perlu lebih banyak terlibat dalam proses mengesahkan kelestarian rantaian bekalan, terutamanya daripada sektor runcit menerusi produk jenama mereka sendiri.

Pada 2018, laporan itu mendedahkan 1.25 juta tan metrik minyak sawit digunakan di Itali yang mana 78 peratus bagi kegunaan teknikal perindustrian, 14 peratus dalam sektor makanan dan baki lapan peratus dalam sektor kosmetik dan penjagaan rumah.

Dianggarkan 92 peratus daripada minyak sawit yang digunakan di Itali datang daripada sumber lestari, dengan kira-kira 78 peratus diperakui oleh International Sustainability and Carbon Certification. Selebihnya diperakui Roundtable Sustainable Palm Oil (RSPO) Segregated (tujuh peratus), No Peat and No Exploitation atau NDPE (lima peratus) dan RSPO Mass Balance (tiga peratus).

Minyak sawit yang dihasilkan di Malaysia dan Indonesia juga tertakluk kepada pensijilan mengikut skim negara mereka masing-masing iaitu Indonesian Sustainable Palm Oil (ISPO) dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Bagi sektor makanan, 64 peratus daripada minyak sawit digunakan diperakui RSPO, yang mana 45 peratus diperakui RSPO Segregated dan 19 peratus RSPO Mass Balance.

Baki 36 peratus adalah daripada rantaian bekalan yang memenuhi kriteria NDPE.

Ditubuhkan pada Oktober 2015, kesatuan itu dianggotai syarikat dan persatuan dalam industri makanan yang menyasar menggunakan atau membekalkan secara eksklusif 100 peratus minyak sawit lestari pada akhir tahun ini.

— BERNAMA





Source link

Related Posts