Uncategorized

Jepun kuat kuasa langkah singkir Korea Selatan daripada senarai rakan dagang pilihan



SEOUL: Jepun pada Rabu menguatkuasakan keputusan menyingkir Korea Selatan daripada senarai rakan dagang pilihannya, sekali gus memburukkan lagi pertikaian antara kedua-dua negara berhubung isu perdagangan dan sejarah semasa perang.

Jepun meneruskan langkah penyingkiran itu dengan kelulusan Kabinetnya pada 2 Ogos meskipun Seoul berulang kali mendesak agar kekangan eksport sedemikian dihentikan, yang merupakan satu tindak balas politik terhadap keputusan Mahkamah Agung Korea Selatan tahun lepas ke atas beberapa syarikat Jepun berhubung isu buruh paksa semasa era penjajahan.

Seoul dijangka membuat laporan rasmi berkaitan penyingkiran itu yang didakwa melemahkan prinsip perdagangan bebas, mengganggu rangkaian bekalan antarabangsa dan secara negatif menjejaskan ekonomi global.

Korea Selatan adalah antara 27 negara dalam senarai putih Jepun yang tidak memerlukannya melalui pemeriksaan ketat ke atas lebih 1,100 barangan strategik import yang berpotensi dialih sebagai penggunaan ketenteraan.

Langkah penyingkiran daripada senarai itu adalah tambahan kepada penguatkuasaaan sekatan Jepun pada Julai ke atas eksport tiga bahan berteknologi tinggi Korea Selatan yang penting dalam penghasilan semikonduktor.

Tokyo telah menggambarkan sekatan perdagangan itu sebagai sebahagian daripada pengurusan rejim eksportnya yang sah dan menolak dakwaan Seoul bahawa ia adalah satu tindak balas bagi keputusan Mahkamah Agung yang mengarahkan beberapa syarikat Jepun membayar pampasan kepada mangsa buruh paksa semasa era penjajahan Jepun 1910-1945.

Mahkamah itu telah mengiktiraf hak individu mangsa untuk menuntut ganti rugi namun Tokyo berhujah bahawa semua isu yang berbangkit daripada zaman penjajahan di Semenanjung Korea telah diselesaikan di bawah perjanjian negara dengan negara pada 1965 yang bertujuan menormalkan hubungan dua hala.

Pada Selasa, Perdana Menteri Lee Nak Yon berkata Seoul boleh mempertimbang keputusannya untuk memansuhkan pakatan perkongsian risikan ketenteraan dua hala jika Jepun menarik balik langkah tindak balas ekonomi itu.

Minggu lepas, Seoul mengumumkan keputusannya untuk menamatkan pakatan itu, dikenali sebagai General Security of Military Information Agreement (GSOMIA), yang dilihat sebagai satu simbol kerjasama keselamatan antara kedua-dua negara yang jarang berlaku.

Perselisihan berterusan antara Seoul dan Tokyo telah meletakkan Washington, sekutu kedua-dua negara, dalam keadaan yang sukar kerana Amerika Syarikat berusaha memperkukuh rangkaian sekutu serantaunya untuk menangani ancaman China serta Korea Utara dengan lebih baik.

— BERNAMA





Source link

Related Posts