Artikel Terkini

Jerami Kingdom tarikan pengunjung di Pesta Angin Timur 2020



PADANG BESAR: ‘Jerami Kingdom’, gulungan jerami yang disusun seumpama kota istana dalam filem barat, membangkit keterujaan pengunjung di Pesta Angin Timur 2020 (PAT2020) yang bermula Jumaat (28 Feb) sehingga Ahad ini.

Kebanyakan pengunjung yang hadir seawal jam 8 pagi tidak melepaskan peluang merakam gambar dan berswafoto bersama susunan gulungan jerami itu yang disifatkan unik dan menarik.

Petugas Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberitahu Bernama, kira-kira 500 tiket masuk berharga RM1 telah terjual sehingga jam 12 tengah hari Jumaat.

Seorang pekerja swasta, Nurahmah Abdullah, 47, yang berasal dari Pahang meluahkan keterujaan dengan keunikan gulungan jerami yang disusun secara bertingkat.

“Menjengah pintu gerbang ‘Jerami Kingdom’ saya rasakan seperti memasuki sebuah kota istana dalam filem dongeng barat.

“Di sini juga kita dapat menghayati keindahan sawah padi, mempelajari budaya masyarakat Perlis selepas musim menuai padi dengan melakukan pelbagai aktiviti sukan masyarakat seperti pertandingan menangkap itik, persembahan wau tradisional, pertandingan menangkap ikan dan sebagainya,” katanya kepada Bernama di sini, pada Jumaat.

Seorang pesara kerajaan, Nuralimi Mohd Jaffirun, 61, yang berasal dari Perak, berkata beliau turut membawa saudara-maranya dari Kota Sarang Semut, Kedah dan Kuala Lumpur untuk merasai sendiri suasana PAT.

“Setiap kali PAT berlangsung saya hadir dan sentiasa ada penambahbaikan dan suasana yang baharu…kali ini ada Jerami Kingdom, pertunjukan askar dan pelbagai permainan menarik dan terbaru saya dimaklumkan ada permainan kerbau tarik besi,” katanya.

Nuralimi berkata selain menghayati suasana, tujuan utamanya hadir ke PAT setiap tahun adalah untuk menikmati kepelbagaian makanan yang lazat di gerai yang disediakan.

“Setiap tahun ada sahaja menu utara yang menarik disajikan, antanya ‘Bihun Sup Meletop’ dan ‘Laksa Kebabom’ yang sinonim dengan masyarakat Perlis. Sedap dan menyelerakan…makan sambil merasai tiupan angin timur dan suasana bendang..sungguh mengasyikkan,” katanya.

Antara minuman menarik dan pelik terdapat di gerai PAT ialah ‘Air sampah’ (air herba), jus mangga dan lain-lain yang turut menjadi tarikan pengunjung.

PAT 2020 memasuki edisi kelapan dan merupakan program tahunan kerajaan Perlis bagi menarik pelancong datang ke negeri ini.

— BERNAMA





Source link