Artikel Terkini

Johor beri insentif khas kepada barisan hadapan PBT


JOHOR BAHRU: Johor akan memberi insentif khas bernilai RM300 sebulan kepada petugas baris hadapan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ayub Jamil berkata perbelanjaan insentif khas itu yang berjumlah RM1,512,900 akan diberikan bermula Mac hingga Mei.

Katanya insentif khas ini akan memberi manfaat kepada seramai 1,681 petugas dari 16 PBT merangkumi dua Majlis Bandaraya, tujuh Majlis Perbandaran dan tujuh Majlis Daerah di negeri ini.

“Dalam konteks ini, kerajaan negeri merasakan petugas barisan hadapan PBT juga memainkan peranan penting sepanjang pelaksanaan PKP yang mana turut merisikokan keselamatan diri hanya untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat di Johor.

“Insentif khas ini akan diberikan kepada anggota barisan hadapan PBT yang perlu bertugas dengan bayaran sebanyak RM300 setiap bulan sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa.

“Pembayaran kesemua insentif ini memperuntukkan perbelanjaan berjumlah RM1,512,900 iaitu bagi tempoh jangkaan pelaksanaan PKP selama tiga bulan bermula dari Mac hingga Mei. Bagaimanapun insentif ini akan diteruskan sekiranya PKP dilanjutkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan media insentif bulanan kepada petugas barisan hadapan PBT sepanjang PKP.

Menurut Ayub, kriteria penerima insentif ini ialah anggota barisan hadapan PBT Johor.

Katanya insentif khas ini akan diberikan kepada semua gred jawatan di bawah Skim Inspektor Kesihatan/Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Penguatkuasa (Pegawai Penguatkuasa dan Pembantu Penguatkuasa).

“Insentif khas ini juga boleh diberikan kepada mana-mana pegawai  atau kakitangan Majlis yang diberi kuasa atau diperakukan oleh Datuk Bandar Yang Dipertua secara bertulis untuk melakukan
tugas sepanjang sebagai tempoh PKP,” katanya.





Source link

Related Posts