Artikel Terkini

Kadar kemiskinan negara menurun dua mata peratusan



KUALA LUMPUR: Kadar kemiskinan negara menurun sebanyak dua mata peratusan daripada 7.6 peratus pada tahun 2016 kepada 5.6 peratus pada tahun 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkembangan positif itu jelas menunjukkan program dan inisiatif pembasmian kemiskinan yang dijalankan oleh kerajaan dengan sokongan pelbagai pihak seperti badan bukan kerajaan dan swasta telah membuahkan hasil yang baik.

“Sebagaimana diumumkan (Jabatan Perangkaan Malaysia), Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah pada tahun 2019.

“Angka ini merupakan nilai PGK baharu yang diperolehi setelah kerajaan mengkaji semula metodologi pengiraannya.

“Metodologi pengiraan PGK ini kali terakhir dikemaskini pada tahun 2005 dan PGK pada tahun 2016 adalah sebanyak RM980 sebulan bagi satu isi rumah,”katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia memperkenalkan had PGK yang baharu kepada RM2,208 berbanding kadar RM980 yang telah diguna pakai sejak tahun 2005.

Berdasarkan PGK baharu, Mustapa berkata jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin adalah 405,441 (5.6 peratus) berbanding 525,743 isi rumah pada tahun 2016. 

BACA: Pendapatan penengah tumbuh sederhana, pendapatan purata meningkat 4.2 peratus

Selain menggunakan PGK, jelas beliau kerajaan turut menggunakan beberapa kaedah lain dalam mengukur kemiskinan rakyat.

Ini termasuk penggunaan pengukuran kemiskinan dengan penekanan terhadap peningkatan kualiti hidup (kesihatan, pendidikan, perumahan, taraf hidup, akses kepada maklumat dan pendapatan bulanan isi rumah.

“Usaha menambahbaik kaedah pengukuran kemiskinan ini adalah manifestasi kesungguhan, keprihatinan dan ketelusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

“Kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri perlu mengambil maklum PGK 2019 dalam merancang dasar dan program mereka serta mengkaji semula dasar berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial termasuk semakan semula kumpulan sasar di bawah seliaan dan tanggungjawab mereka dalam masa lima bulan akan datang.

“Berpandukan statistik yang tepat, kerajaan akan dapat menggubal dasar dan strategi serta merangka program yang lebih sesuai, dinamik dan pragmatik untuk setiap kumpulan sasar terutamanya golongan miskin.

“Ini termasuklah dalam menyediakan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun depan,” jelas beliau lagi.

Sehubungan itu, Mustapa berkata usaha pembasmian kemiskinan dan peningkatan taraf hidup rakyat akan sentiasa menjadi antara agenda utama negara.

“Justeru, usaha dan inisiatif Kerajaan dalam mencapai matlamat ini akan sentiasa diperkukuh dan dilipatgandakan agar pembangunan negara akan dapat dirasai oleh setiap rakyatnya sejajar dengan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.





Source link

Related Posts