Artikel Terkini

Kanak-kanak OKU catat rekod MBR, sertai kayuhan rentas sempadan 222.2km



PADANG BESAR: Seorang kanak-kanak perempuan kurang upaya (OKU) yang menghidapi palsi serebrum sejak lahir mencatat rekod keduanya dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi penyertaan kayuhan basikal rentas sempadan Malaysia -Thailand sejauh 222.2 kilometer (km).

Nur Wadihan Wira Sudepja, 12, kelihatan cekal mengikuti kayuhan bersama bapanya, Wira Sudepja Rabu, 45, walaupun cuaca panas dan kering melanda negeri Perlis ketika ini.

Sebelum ini, anak istimewa itu mencatat rekod pertama MBR bagi dirinya setelah menyertai acara Kerian Incredible Dualthon kategori Sprinter sejauh 48 km di Kerian, Perak pada 2018, bersama bapanya.

Menurut Wira Sudepja, anaknya itu mengalami demam sebelum kayuhan yang dijadualkan bermula Jumaat lepas dan langkah penjagaan kesihatan dan keselamatan awal diambil antaranya mendapatkan bekalan ubat yang mencukupi.

“Saya amat berbangga dengan kecekalan anak istimewa ini yang ceria dan bersahaja sepanjang kayuhan bermula dari Wang Kelian ke Satun, Thailand, kemudiannya ke Pat Bara (Thailand) dan berpatah balik mengikut laluan sama sehingga ke Padang Besar,” katanya kepada media ketika ditemui selepas menamatkan kayuhan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di sini, pada Isnin.

Program itu merupakan anjuran Yayasan Generasi Malaysia dan pihak Kuantan Port bagi mengetengahkan golongan OKU kepada umum.

Wira Sudepja berkayuh sejauh 222.2 km membawa anak istimewa itu sejak pukul 5 pagi pada Jumaat lepas dan mengambil masa selama empat hari melalui pekan utama di wilayah Satun, Thailand sebelum berakhir di garisan penamat pada kira-kira pukul 12 tengah hari Isnin.

Beliau berkata, perkara itu dilakukannya bukan semata-mata mahu mengejar ranking MBR, namun mahu masyarakat luar khususnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak kurang upaya agar memberi anak mereka pengalaman merasai aktiviti sama seperti kanak-kanak normal lain.

“Kita juga mahu meraikan kehidupan mereka sama seperti anak-anak lain iaitu boleh berbasikal dan berlari, katanya yang juga pengasas Kelab Bikeisable di Kuala Lumpur.

–BERNAMA





Source link