Artikel Terkini

Kaunter tenaga terus susut akibat isu minyak



KUALA LUMPUR: Penularan COVID-19 terus menjejaskan penggunaan minyak global ketika beberapa negara utama terus berusaha untuk mengatasi masalah kekurangan tempat simpanan lebihan bahan api itu manakala pertikaian Arab Saudi dan Rusia pula menyebabkan kemerosotan harga minyak.

Dari segi prestasi sektor, kaunter tenaga juga terus lemah apabila 18 kaunter susut pada awal dagangan selepas harga minyak mentah Brent turun ke paras di bawah AS$20 setong – kali kedua dalam tempoh seminggu.

Pada 9.40 pagi, sebanyak 152,019.600 saham bernilai RM24.13 juta telah didagangkan.

Indeks tersebut telah mengalami penurunan hampir 10 peratus kepada 655.50 mata hari ini apabila harga minyak menjunam ke paras rendah sejak seminggu lepas.

Harga minyak mentah Brent mencecah US$19.73 setong manakala minyak mentah WTI pada AS$11.95 setong.

Laporan menyatakan peningkatan import minyak Rusia oleh China meningkat lebih daripada 31 peratus pada bulan lepas manakala pembelian minyak mentahnya dari Arab Saudi susut 1.8 peratus berbanding Mac 2019 ketika pertikaian antara dua negara pengeluar minyak tersebut terus meruncing.

Sementara itu Korea Selatan yang mempunyai kapasiti tempat simpanan komersial keempat terbesar di Asia, berdepan kekurangan ruang simpanan apabila permintaan terhadap bahan api itu terus merosot akibat COVID-19.

Kalangan penganalisis percaya kelemahan pasaran minyak itu masih jauh untuk diselesaikan manakala harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global dijangka mencecah AS$10 setong.

Malah, mereka berpendapat sukar bagi pasaran minyak untuk meningkat semula dalam masa terdekat ini berikutan penularan COVID-19 yang berlanjutan di serata dunia dan menyebabkan aktiviti perjalanan terhenti berserta penggunaannya yang terus merosot.

— BERNAMA





Source link

Related Posts