Uncategorized

Kebaikan Wasiat Dan Tiga Perbandingan Adanya Wasiat Berbanding Tiada Wasiat

Kebaikan Wasiat Dan Tiga Perbandingan Adanya Wasiat Berbanding Tiada Wasiat 1


Bila cakap pasal wasiat, kebanyakan daripada kita akan memandang remeh berkenaan perkara ini. Berdasarkan rekod Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, setakat tahun 2016, kira-kira RM60 billion jumlah harta yang tidak dituntut oleh waris si mati.

Aset berkenaan merangkumi rumah, wang, dan tanah yang tidak dituntut. Proses pengagihan harta akan menjadi rumit jika berlaku sebarang pertikaian, pertindihan, dan penipuan di kalangan waris.

Faraid Kan Ada?

Ramai di kalangan umat Islam menganggap tiada kepentingan menulis wasiat kerana kita sudah ada sistem faraid yang akan membahagikan bahagian untuk setiap waris. Maka tidak hairanlah, kesedaran dalam penulisan wasiat masih rendah di kalangan umat Islam.

Wasiat pula bukan hanya semata-mata untuk pembahagian harta, ia juga untuk penyelesaian hutang si mati dengan meninggalkan pesanan kepada waris. Pengurusan harta pusaka perlu dibuat dengan berhemah, bagi mengelakkan sebarang pergeseran di kalangan ahli keluarga yang seterusnya dapat memutuskan hubungan silaturrahim.

Selain daripada itu, ada waris yang tidak menuntut harta pusaka kerana tidak tahu berkenaan status harta tersebut. Inilah sebab pentingnya penulisan wasiat kerana si mati akan memperincikan harta kepunyaannya untuk pengetahuan semua waris. Ada juga di kalangan kita yang tidak menulis wasiat kerana tidak tahu prosedur penulisan wasiat dan dekat mana ianya perlu dirujuk.

Untuk makluman, wasiat perlu dibuat dengan wasi atau pentadbir bagi membolehkan penulisan wasiat dibuat dengan sistematik. Amanah Raya Berhad dan as-Salihin Trustee Berhad adalah contoh wasi yang boleh dilantik untuk penulisan wasiat.

3 Perbandingan Wasiat Versus Tanpa Wasiat

Ada Wasiat Tiada Wasiat
Selepas menolak hutang, 1/3 daripada harta boleh disumbangkan kepada bukan waris, baki akan diberi kepada waris mengikut sistem faraid Harta akan diagihkan mengikut sistem faraid sepenuhnya
Kebajikan waris terjamin terutamanya jika mempunyai anak yang masih kecil Bagi kes muallaf, ahli keluarga bukan Islam tidak berhak terhadap harta pusaka. Begitu juga dengan anak angkat dan anak tiri
Mengelakkan konflik keluarga Proses pengagihan harta menjadi sedikit rumit

Kesimpulannya, mengurus dan merancang pengagihan harta kepada waris adalah sangat digalakkan dalam Islam. Dalam kes tertentu, ianya menjadi sesuatu yang wajib dan bukan lagi satu pilihan; terutamanya di kalangan keluarga besar yang mempunyai adik-beradik angkat atau adik-beradik tiri.

Islam menggalakkan penulisan wasiat untuk mengelakkan konflik keluarga dan juga supaya waris dapat menyelesaikan segala hutang-piutang si mati. Selain daripada itu, ia juga dapat menjamin kelangsungan hidup waris yang bakal ditinggalkan, terutamanya jika waris masih kecil dan belum cukup umur.

Akhir kata, ambil beratlah berkenaan wasiat jika tidak mahu harta anda diambil oleh kerajaan atau dibekukan akibat tiada waris yang membuat tuntutan.

Wallahu’alam bisshawab.

Ditulis oleh :
Azharul Adha Bin Dzulkarnain
Lulusan Sarjana Kewangan dan Perbankan Islam, UiTM dan masih bekerja di Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit
Penulisan adalah atas kapasiti individu dan tidak mewakili mana-mana pihak

Kebaikan Wasiat Dan Tiga Perbandingan Adanya Wasiat Berbanding Tiada Wasiat 2

Komen

komen





Source link