Uncategorized

Kenali tanda awal mampu elak kes bunuh diri – Lee



KUALA LUMPUR: Gejala bunuh diri boleh dicegah sekiranya semua pihak memainkan peranan termasuk mengenali tanda-tanda awal yang mendorong mereka yang mahu melakukan perbuatan itu, kata Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye.

Merujuk kepada laporan Kementerian Kesihatan mengenai kes bunuh diri yang semakin meningkat di negara ini, Lee berkata 80 peratus daripada mereka yang berfikir untuk membunuh diri menunjukkan tanda-tanda amaran di mana ia tidak dilakukan untuk menarik perhatian, sebaliknya bagi mendapatkan bantuan.

“Apabila kita mengenali tanda-tanda amaran ini, kita mungkin dapat campur tangan dan menawarkan bantuan.

“Orang yang mempunyai fikiran untuk membunuh diri biasanya sukar mempercayai orang lain dan tidak berdaya. Kemerosotan dan ketidakberdayaan emosi ini menyebabkan mereka rasa terpencil, seolah-olah kelihatan tiada siapa peduli.

“Masyarakat boleh mengubahnya dengan menawarkan penjagaan dan empati termasuk melengkapkan diri kita kemahiran mendengar dan sokongan seperti berada di sisi mereka yang berdepan dengan masalah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Lee berkata golongan tersebut juga boleh mendapatkan bantuan di mana-mana klinik kesihatan, Pusat Mental dan Psikiatri (MENTARI) atau talian bantuan seperti Befrienders yang beroperasi 24 jam untuk mendapatkan seseorang berkongsi dan meluahkan masalah yang dihadapi.

— BERNAMA


Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.



Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders. 

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019. 






Source link