Artikel Terkini

Kenapa Balu Sering Tertindas Dalam Proses Pentadbiran Harta Pusaka Suami?


Kita sering mendengar kisah-kisah tidak enak berkenaan pengurusan harta pusaka yang mana diakhiri dengan persengkataan antara ahli keluarga. Lebih-lebih lagi jika yang meninggal dunia itu meninggalkan balu yang masih muda dan anak-anak yang masih kecil.

Bahkan baru-baru ini, viral lagi kisah keluarga selebriti yang berkait rapat dengan masalah pentadbiran harta pusaka. Ditambah pula dengan komentar netizen, ianya mengeruhkan lagi keadaan.

Kebiasaannya apabila berlaku kematian, balu merupakan waris yang paling terkesan dan terjejas, lebih-lebih lagi daripada sudut emosi dan kewangan.

Manakan tidak, insan yang berkongsi hidup selama bertahun-tahun akhirnya terpaksa meninggalkan kita kerana masanya telah sampai.

Tetapi yang hidup tetap perlu meneruskan kehidupan. Balu dan anak yang ditinggalkan tetap perlu rumah untuk berteduh, makan dan minum serta duit untuk meneruskan kelangsungan kehidupan.

Malangnya, akibat tidak betul-betul faham tentang pentadbiran harta pusaka dan hukum faraid, akhirnya balu seolah-olah ditindas dan menjadi mangsa keadaan.

Terpaksa keluar rumah yang diduduki kerana waris lain mengatakan rumah tersebut merupakan pusaka yang perlu difaraidkan, maka balu tiada hak lagi untuk tinggal di situ.

Kebanyakan balu tidak tahu bahawa sebenarnya sebaik sahaja suami meninggal dunia, balu boleh terus tinggal di rumah arwah suami selama 4 bulan 10 hari (tempoh iddah). Tiada mana-mana waris si suami boleh menghalau balu keluar dari rumah itu dalam tempoh tersebut.

Begitu juga sekiranya si suami mempunyai rumah yang disewakan. Duit daripada sewa rumah tersebut juga boleh digunakan oleh balu untuk kelangsungan hidup mereka anak beranak sekiranya tiada sumber pendapatan yang lain, sepanjang tempoh iddah.

Walaubagaimanapun, si balu perlu mencatat berapa banyak yang telah digunakan oleh mereka anak-beranak dan untuk apa, kerana ini akan memudahkan proses agihan harta pusaka melalui hukum faraid agar semua waris jelas dan maklum ke mana duit tersebut digunakan.

Seterusnya, sebelum agihan faraid dibuat, balu juga boleh memfailkan tuntutan harta sepencarian terhadap harta pusaka yang ditinggalkan suami di Mahkamah Syariah.

Walaubagaimanapun, keputusannya terserah kepada Mahkamah Syariah untuk memutuskan berapakah bahagian yang layak dimiliki oleh balu tersebut bergantung kepada penilaian hakim syarie tentang tahap sumbangan balu ke atas pemilikan harta tersebut.

Daripada huraian ringkas ini, balu mempunyai hak-hak tertentu bagi melindungi kepentingan mereka dan anak-anak, tetapi mungkin kerana kurangnya ilmu, maka akhirnya mereka sering tertindas oleh keadaan.

Namun, para suami seharusnya lebih peka dengan keadaan ini. Menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan isteri dan anak-anak dapat meneruskan kehidupan walaupun selepas suami tiada lagi.

Banyak kaedah yang boleh suami lakukan untuk memastikan kebajikan isteri dan anak terpelihara. Di antara yang biasa kita dengar adalah hibah.

Sama ada hibah harta atau pun hibah takaful. Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain.

Sebagai contoh, suami boleh menghibahkan rumahnya kepada isteri. Apabila semua rukun dan syarat hibah ini terlaksana, maka hibah itu sah dan isteri itu memilikilah rumah itu. Tak perlulah rumah itu dibahagikan mengikut faraid. 

Begitu juga dengan hibah takaful. Sekiranya si suami masih belum memiliki perlindungan takaful, usahakanlah untuk memiliki sekurang-kurangnya perlindungan yang paling minimum, sesuai bajet bulanan.

Kesimpulannya, bagi yang masih hidup, rancanglah harta anda supaya harta yang ditinggalkan tidak menjadi punca perbalahan antara keluarga kelak.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka.

Nak tahu lebih lanjut mengenai hibah dan takaful, klik Let’s Talk di sini.

Iklan


Iklan



Source link