Artikel Terkini

Kepelbagaian Kadar Di Bank: OPR-BR-CPR-EPR


Kejap kita terbaca mengenai OPR, lepas tu jumpa pula BR, ada kalanya ternampak EPR. Lepas tu bukan ke CPR ni khidmat kecemasan yang diberikan kepada mereka yang tak sedarkan diri?

Daripada kita duduk dalam kejahilan, jom kita sama-sama ambil tahu apakah yang dimaksudkan dengan OPR, BR, CPR dan EPR ini.

Overnight Policy Rate (OPR)

Bank Negara Malaysia (BNM) pada 23 Januari 2020 mengejutkan
ramai pihak apabila mengumumkan penurunan Kadar Dasar
Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75%.

Pada kadar 2.75%, ia merupakan kadar terendah sejak Mac 2011. Manakala kali terakhir OPR diturunkan adalah pada 17 Mei 2019 apabila ia diturunkan daripada 3.25% kepada 3.00% mata asas.

OPR
adalah kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan bagi pinjaman atau
pembiayaan yang dilakukan antara satu bank dengan bank yang lain. Faedah dan
pinjaman merujuk kepada perbankan konvensional manakala keuntungan dan
pembiayaan merujuk kepada perbankan Islam.

Apakah kesan penurunan OPR?

OPR merupakan salah satu daripada instrumen polisi yang digunakan oleh BNM bagi mengawal keadaan ekonomi negara. Langkah menaikkan atau menurunkan OPR adalah sebahagian daripada dasar monetari yang bertindak mengawal permintaan dan penawaran wang dalam pasaran.

Ia memberi kesan langsung kepada kadar inflasi, perbelanjaan domestik, dan seterusnya nilai mata wang. Dengan penurunan OPR, perbelanjaan domestik diharapkan meningkat seterusnya mengembangkan ekonomi melalui permintaan yang bertambah terhadap barang-barangan dan penghasilan peluang pekerjaan baru.

Bagaimana perbelanjaan meningkat?

Perbelanjaan
kesemua sektor merangkumi rakyat, korporat, dan masyarakat diharapkan meningkat
apabila mereka mempunyai akses kepada kredit atau kata mudahnya HUTANG.

Dengan berhutang, mereka mampu berbelanja lebih walaupun di luar kemampuan biasa mereka. Secara teorinya perbelanjaan ini akan membantu merancakkan pasaran dan menghasilkan pertumbuhan ekonomi.

Base Rate (BR)

Bermula 2 Januari 2015, sistem Kadar Pinjaman Asas (juga dikenali sebagai Base Lending Rate, BLR; dan Base Financing Rate, BFR) digantikan dengan system Kadar Asas (BR) sebagai kadar rujukan utama bagi pinjaman yang berkadar terapung (floating rate).

Tujuan pertukaran sistem ini menurut BNM, adalah kerana sistem lama BLR/BFR tidak relevan sebagai rujukan bagi penentuan kadar pinjaman. Ianya disebabkan berlakunya ketidaktelusan daripada pihak bank dalam mengenakan kadar pinjaman mereka. Mangsanya adalah pengguna atau pelanggan. 

BR yang ditetapkan oleh bank akan bergantung kepada OPR dan kos dana (Cost of Fund) setiap bank itu sendiri. Walaupun BR bergantung kepada OPR, bank boleh mengubah BR pada bila-bila masa walaupun tanpa ada perubahan kepada OPR.

Di
bawah sistem BR, bank dituntut oleh BNM supaya mendedahkan BR kepada awam
beserta margin kadar keuntungan (Profit Rate). Komponen yang menentukan kadar keuntungan
antaranya adalah tahap risiko kredit peminjam atau kemampuan membayar ansuran,
kos operasi, keuntungan bank, dan sebagainya.

Jangan
terkeliru sekiranya terma BLR/BFR masih dipaparkan kerana ia masih digunakan
bagi kontrak-kontrak sebelum 2015.

Contracted
Profit Rate (CPR)

Contracted atau Ceiling Profit Rate (CPR) yang juga dikenali sebagai Kadar Keuntungan Siling digunakan oleh perbankan Islam dalam memberikan pembiayaan. Kadar ini adalah kadar maksimum yang boleh dikenakan oleh pihak bank kepada pelanggannya.

Kerana
itu, ramai yang beranggapan pembiayaan di perbankan Islam tinggi berbanding
pinjaman di perbankan konvensional. Perbankan Islam perlu meletakkan CPR
sebagai harga jualan komoditi di bawah kontrak Tawarruq ketika
memberikan pembiayaan.

Salah satu syarat dalam transaksi jual beli adalah kejelasan dalam harga. Disebabkan kemungkinan perubahan OPR yang akan menyebabkan perubahan BR, maka CPR diletakkan dengan mengambil kira kadar maksimum yang akan dikenakan. Ia membolehkan pihak bank menukar atau meningkatkan EPR mereka sekiranya OPR meningkat.  

Biasanya
CPR adalah 10-12%, dalam sejarah BLR paling tinggi direkodkan pada tahun 1998
ketika krisis ekonomi adalah pada kadar 12.27%. Perbankan konvensional tanpa
CPR boleh mengenakan kadar melebihi 12.27%, tidak bagi perbankan Islam.

Effective
Profit Rate (EPR)

Kadar
yang betul-betul dikenakan kepada pelanggan dinamakan sebagai Kadar Keuntungan
Efektif atau EPR. EPR adalah BR + Kadar Keuntungan (Profit Rate).

Sebagai contoh, Al
Rajhi Bank menyatakan nilai BR 3.85% dan EPR adalah 6.75%, maka kadar keuntungannya
adalah 2.9%.

BR/EPR terkini: https://www.bnm.gov.my/index.php?ch=en_announcement&pg=en_announcement&ac=19

Nilai BR lebih rendah yang ditawarkan oleh sesebuah bank tidak bermakna ia mempunyai nilai EPR yang paling rendah. Bank yang suka bersaing mungkin sanggup menerima margin keuntungan yang lebih rendah dan ini menghasilkan nilai EPR yang lebih rendah.

Sebagai contoh, Public Bank mengenakan BR 3.27% manakala Maybank mempunyai BR 2.75%. Tetapi nilai EPR Maybank lebih tinggi pada 4.20% berbanding EPR Public Bank iaitu 4.10%.

Maka
fahami betul-betul apa perbezaan kadar-kadar ini sebelum kita mengambil
pembiayaan. Pihak bank juga harus berhati-hati dalam menunjukkan kadar-kadar
yang berbeza kerana ia mungkin mengelirukan pengguna. Mungkin kita lihat
kadarnya rendah dalam iklan namun hakikatnya kadar efektifnya adalah jauh lebih
tinggi.

Tanyalah
pegawai bank tersebut, berapa CPR dan berapa kadar ansuran sekiranya CPR
dikenakan. Andai kita masih mampu membayar ansuran pada kadar maksimum itu maka
bolehlah kita teruskan hasrat pembiayaan tersebut.

Ditulis oleh Arham Merican, pegawai Shariah di salah sebuah bank Islam antarabangsa dan sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Pembangunan. Meminati bidang ekonomi dan Shariah dengan fokus pada pemberdayaan modal insan.



Source link