Artikel Terkini

Keringkam Sarawak curi perhatian pada Istiadat Angkat Sumpah



KUALA LUMPUR: Hari ini kesemua 31 menteri Kabinet dan 38 timbalan menteri baharu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Melawati, Putrajaya.

Antara yang mencuri tumpuan pastinya persalinan yang dikenakan Timbalan Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib.

Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah tampil mengenakan selendang Keringkam tradisional Sarawak berwarna merah diserikan dengan sepersalinan baju tradisional etnik Melanau berwarna hitam dengan songket berwarna merah.

Menurut pereka fesyen yang menyediakan persalinan tersebut, Abdul Latip Mohti, Hanifah mengenakan sepersalinan baju Baban Bunga Bertabur lengkap dengan rantai Papen dan songket tenun Sarawak.

“Yang Berhormat memang bangga mengenakan pakaian tradisional Melanau dan mahu elemen-elemen tradisional ini terus dikenali masyarakat luar Sarawak,” ujarnya ketika dihubungi Astro AWANI.





Source link