Artikel Terkini

Keyakinan pelabur ke atas ringgit meningkat, ditutup pada RM4.0 pada 2019



KUALA LUMPUR: Ringgit stabil pada 2019 meskipun kedudukan pasaran domestik dan global tidak menentu. mencerminkan keyakinan yang kukuh dalam kalangan pelabur ke atas mata wang negara.

Ringgit telah menunjukkan prestasi yang baik, dengan mengambil kira kedudukan ekonomi global yang lemah, perang perdagangan, rundingan Brexit dan risiko geopolitik, menurut Pakar Ekonomi IQI Global Shan Saeed.

Ringgit mengakhiri tahun 2019 pada RM4.08, paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan, dengan keuntungan 0.99 peratus berbanding dolar AS setakat ini tahun ini, didorong oleh keyakinan berterusan ke atas kejayaan fasa satu rundingan perdagangan AS-China, yang mengekalkan sentimen positif dalam kalangan pelabur.

Pada 21 Mac, ringgit mencecah RM4.06 berbanding dolar AS, tahap paling kukuh tahun ini, namun merosot kepada RM4.22, tahap paling lemah, pada 3 September.

Shan berkata kedudukan ringgit itu didorong oleh pertumbuhan ekonomi tahun ini, yang dipacu oleh produktiviti yang lebih tinggi serta pelaburan langsung asing yang meningkat 10.3 peratus kepada RM667.5 bilion pada suku kedua, sekali gus mendorong keyakinan pelabur.

Inflasi secara amnya rendah, dan membantu menstabilkan harga, manakala kestabilan ekonomi makro merangkumi politik, ekonomi, infrastruktur dan kewangan, menyediakan unjuran stabil ke atas mata wang.

“Kestabilan ringgit mengejutkan banyak pelabur, dengan mata wang tempatan itu menambah nilai sebanyak 0.99 peratus,” katanya kepada Bernama.

Memasuki 2019, ringgit disebut harga pada 4.0370/0400 berbanding dolar AS pada 2 Jan, meneruskan momentum pada 2018.

Ia naik 1.4 peratus berbanding dolar AS pada suku pertama berikutan perkembangan global yang positif.

Kemajuan yang dicapai dalam rundingan perdagangan AS-China merupakan antara menyumbang ke arah sentimen pasaran kewangan yang lebih baik dan menyokong pasaran kewangan serantau, termasuk Malaysia.

Minat pelabur untuk mengambil risiko terhadap aset kewangan serantau juga bertambah baik berikutan isyarat oleh Rizab Persekutuan AS yang menangguhkan kenaikkan kadar faedah bagi tahun itu.

Pada suku kedua, ringgit tertekan dan menyusut nilai 1.5 peratus berbanding dolar AS.

Penyusutan itu disebabkan oleh pasaran kewangan domestik yang lembap, yang terjejas oleh sentimen pelabur yang berhati-hati di tengah-tengah prospek pertumbuhan global yang sederhana dan ketegangan dalam perdagangan global.

Potensi semakan semula ke atas kemasukan Malaysia dalam senarai Indeks Bon Kerajaan Dunia FTSE Russell World juga menjejaskan sentimen dalam pasaran bon domestik.

Hasilnya, aliran keluar portfolio bukan pemastautin sebanyak RM5.1 bilion menyebabkan ringgit menyusut sebanyak 1.5 peratus berbanding dolar AS pada suku tersebut.

Dianggap antara ancaman terbesar kepada ekonomi global, dua ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat dan China, berbalah dalam isu hak harta intelektual dengan pelbagai tarif import dinaikkan sejak tahun lepas.

Ekoran ancaman itu, segmen perniagaan menjadi lemah dengan Indeks Pengurus Pembelian Global (IPP) bagi sektor pembuatan merosot ke bawah 50 mata antara Mei dan Oktober.

“Pasaran tukaran asing cemas dan gelisah mengenai impaknya ke atas ekonomi global,” menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Pada suku ketiga, ringgit menyusut 1.1 peratus kepada dolar AS berikutan pengelakan risiko yang terus meningkat dalam pasaran kewangan global di tengah-tengah peningkatan ketegangan perdagangan dan kebimbangan terhadap prospek pertumbuhan global.

Sentimen tersebut menyebabkan pelabur beralih kepada mata wang yang selamat, termasuk dolar AS.

Bagaimanapun, ringgit tidak bersendirian kerana banyak mata wang pasaran pesat membangun tertekan ekoran pengukuhan dolar AS, dan kebimbangan mengenai pertumbuhan global, kata pengalisis FXTM Research Lukman Otunuga.

“Walaupun sentimen yang bertambah baik ini berkemungkinan menyokong ringgit, keuntungan terus dikekang oleh pemacu luaran,” katanya.

Selain itu, institusi besar seperti Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia telah menurunkan unjuran masing-masing bagi 2019 dan 2020.

“Pengelakan risiko juga berlaku dan membawa kepada permintaan yang lebih tinggi ke atas dolar AS yang dianggap lebih selamat, terutama pada September,” kata Afzanizam.

Namun, beliau berkata kemajuan dalam rundingan antara AS-China baru-baru ini positif kepada ringgit.

Pada suku akhir ringgit meningkat 2.29 peratus berbanding dolar AS ditengah-tengah tindakan AS-China bersetuju untuk menandatangani perjanjian fasa pertama rundingan perjanjian perdagangan itu pada Januari.

Pada suku itu, minat pelabur dalam pasaran kewangan global juga bertambah baik sejak Oktober berikutan wujud tanda-tanda keyakinan dalam rundingan perdagangan global antara AS dan China, serta perjanjian Brexit.

Mengenai unjurannya, Shan menjangkakan ringgit kekal stabil tahun depan, berlegar antara RM3.97 dan RM4,30 berbanding dolar AS, sejajar dengan pergerakan yuan China dan minyak mentah.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan AMMB Holdings Bhd Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata ringgit terus terikat dengan perdagangan antara AS dan China.

“Andai rundingan perdagangan berjaya, ini akan menyaksikan pengukuhan renminbi berbanding dolar AS, yang turut menyumbang kepada pengukuhan ringgit,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts