Artikel Terkini

Khazanah sasar kurangkan hutang sehingga RM35 bilion – Azmin Ali



KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dalam proses mengenal pasti aset untuk dijual bagi mengurangkan nilai tanggungan hutang dari RM35 bilion hingga RM40 bilion dengan secepat mungkin.

Azmin yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah dana pelaburan negara itu turut berkata, nilai tanggungan hutang Khazanah juga telah dikurangkan dari RM55 bilion kepada RM47 bilion setakat ini menerusi penjualan aset.

“Proses penjualan aset merupakan urusniaga biasa bagi Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Bagaimanapun, kami mesti memastikan aset yang dijual akan memberikan pulangan dan dana baharu untuk tujuan pelaburan ke dalam aset lain serta membawa lebih banyak keuntungan kepada Khazanah dan akhirnya memberikan dividen kepada kerajaan,” katanya kepada pengamal media selepas menyampaikan ucapan pembukaan Forum Khazanah Megatrends 2019 di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur pada Isnin.

Katanya lagi, penjualan aset merupakan suatu amalan biasa kerana Khazanah telah menjual lebih 100 aset dalam tempoh 10 tahun ini yang bernilai kira-kira RM65 bilion.

“Penjualan aset bukannya suatu perkara yang luar biasa tetapi ia memerlukan satu pertimbangan yang strategik mengikut keadaaan pasaran dan ia akan memberikan nilai kepada aset tersebut,” katanya lagi.

Pada Jumaat lalu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Redzuan berkata Khazanah berjaya mengurangkan nilai tanggungan hutang kepada RM47 bilion daripada RM55 bilion dalam tempoh setahun melalui penjualan aset dan pelaburan.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga, syarikat pelaburan strategik negara itu telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM9 bilion serta dijangka kembali pulih dan mampu menjana potensi pendapatan berjumlah RM5 bilion tahun ini.





Source link

Related Posts