Uncategorized

Khazanah tidak berminat jual PLUS – Shahril Ridza



KUALA LUMPUR: Pemegang saham utama PLUS Malaysia Bhd, Khazanah Nasional Bhd menegaskan tidak berminat untuk menjual aset strategik itu kepada mana-mana pihak.

Pengarah Urusannya Datuk Shahril Ridza Redzuan berkata setakat ini, pihaknya menolak kesemua tawaran yang diterima daripada entiti swasta asing, mahu pun tempatan.

“Banyak tawaran yang kami terima daripada pelbagai pihak. Namun, jawapan kami kepada mereka sangat mudah. Kami tidak berminat untuk menjual,” katanya dalam temu bual dengan TV3 yang disiarkan pada Sabtu.

Menurutnya pihak terbabit turut berhasrat membeli PLUS pada harga jauh lebih rendah daripada nilai sebenar, selain mahu membayar harga substandard kepada Khazanah dan menggunakan perbezaan harga pembayaran dan nilai sebenar sebagai diskaun tol kepada rakyat.

“Kalau nak beli (sebarang aset) daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau Khazanah, anda perlu menawarkan harga pasaran yang lebih wajar. Selepas itu kalau nak beri diskaun….itu daripada keuntungan anda, bukan daripada kami,”katanya.

Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala bakinya dimiliki KWSP susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

Beliau berkata sebagai cabang pelaburan kerajaan, Khazanah akan memastikan bahawa aset strategik seperti PLUS tidak dijual kepada pihak atau individu yang berkemungkinan mahu meraih keuntungan semata-mata, tanpa mengambil kira kepentingan rakyat.

“Kalau PLUS menerima keuntungan, keuntungan PLUS kembali kepada kerajaan melalui Khazanah atau kepada rakyat melalui KWSP.

“Jadi, jika anda membenarkan pihak swasta mengambil alih PLUS dan pihak tersebut meraih keuntungan yang tinggi, rakyat tidak akan gembira,” kata Shahril Ridza.

— BERNAMA





Source link

Related Posts