Artikel Terkini

Kisah Inspirasi Saintis Muda Negara, Dr Oon Chern Ein


Siapa tidak kenal dengan Saintis Muda Negara, Dr Oon Chern Ein yang merupakan seorang isteri, ibu dan pengarah kanan Universiti Sains Malaysia.  Beliau telah mengharumkan nama negara Malaysia ketika viral suatu masa dahulu.

Saintis muda negara kita ini telah meraih dua kejayaan di peringkat Asia Tenggara dan juga di peringkat kebangsaan. Beliau juga telah dinobatkan sebagai Saintis Muda Negara 2018 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Tercetusnya Minat Menjadi Saintis

Sejak kecil lagi beliau telah bercita-cita untuk menjadi seorang saintis. Minatnya itu dipupuk oleh bapanya sejak kecil yang bekerja sebagai ahli kimia di Universiti Sains Malaysia (USM). Jika dilihat dari latar belakang keluarganya, patutlah beliau berjaya.  Hasil dorongan seorang bapa rupanya!

Dr Oon juga telah diiktiraf sebagai wanita pertama memenangi Anugerah Wanita Masa Hadapan – Asia Tenggara 2018 dalam kategori Sains, Teknologi dan Digital yang berlangsung di Singapura. Lebih hebat lagi, beliau menewaskan 4 orang lagi calon yang hebat-hebat bagi kategori tersebut.  Betapa hebatnya anak kelahiran Georgetown, Pulau Pinang ini.

Walaupun sejak kecil lagi beliau mempunyai hasrat untuk menjadi saintis, cita-citanya tersebut telah dihalang oleh ibunya. Ibunya sangat bimbang ketika itu kerana bukan mudah untuk menjadi seorang saintis dimana ia memerlukan komitmen yang amat tinggi.

Selain itu, ibu beliau juga berasa takut sekiranya Dr Oon akan mengabaikan urusan keluarga hanya kerana pekerjaan tersebut.

Pengajian Dan Pencapaian Saintis Muda Negara

Selepas tamat pengajian tingkatan 6 di Penang Free School (PFS), Dr Oon telah melanjutkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Sains Bioteknologi. Selepas itu, beliau telah meneruskan pengajiannya di sebuah universiti di United Kingdom selepas memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Di United Kingdom, beliau telah banyak melakukan kajian dalam usaha menghalang kanser.  Beliau juga telah menghabiskan masa selama setahun setengah dalam kajiannya di Sweden. Kajian yang dilakukan oleh beliau adalah berhubung sel persekitaran yang menggalakkan pertumbuhan kanser.

Kini di USM, Saintis Muda Negara ini masih meneruskan kajiannya dengan menggunakan sebatian baharu bagi menghalang pembentukan salur darah yang boleh menyebabkan pertumbuhan kanser.

Kesimpulannya, tidak mustahil seseorang itu ingin menjadi seperti Saintis Muda Negara ini.  Belajarlah bersungguh-sungguh dan buktikan bahawa wanita juga mampu berjaya jika mempunyai minat yang tinggi.

Semoga kisah inspirasi Saintis Muda Negara ini dapat memberi manfaat dan dorongan kepada kita semua untuk berjaya.

Sumber Rujukan:

  1. https://www.bharian.com.my/wanita/lain-lain/2018/07/444390/impi-kerjaya-saintis-jadi-kenyataan
  2. https://www.majalahsains.com/penemuan-baharu-rawatan-kanser-oleh-saintis-wanita-muda-memenangi-anugerah-antarabangsa-tempatan/
  3. http://www.informm.usm.my/chern.oon



Source link