Artikel Terkini

Kod Keselamatan Kad Debit: Apa Yang Anda Perlu Tahu


Sekarang semakin ramai yang lebih gemar berbelanja menggunakan kad debit berbanding tunai. Pertama, lebih mudah kerana tidak perlu membawa tunai yang banyak. Kedua, ianya lebih mudah untuk memantau perbelanjaan.

Kad debit dihubungkan secara terus dengan akaun bank kita. Jadi, ia sangat penting untuk memastikan semuanya selamat.

Kod keselamatan pada kad debit adalah cara untuk melindungi kad debit.

Apakah itu kod keselamatan kad debit?

Seperti kad kredit, kad debit juga mempunyai nombor kad yang mengandungi 15 atau 16 digit nombor di hadapan kad. Kad debit juga mempunyai tarikh kad dikeluarkan dan tarikh tamat tempoh di hadapan kad.

Kod keselamatan kad pula ialah nombor 3 atau 4 digit yang terletak di bawah jalur magnetik di belakang kad. Sebilangan daripada kita merujuk nombor ini sebagai CVC (card verification code) atau CVV (card verification value).

Kedua-dua kad kredit dan kad debit mempunyai kod keselematan. Ada juga kad seperti American Express yang mempunyai kod keselamatan ini di hadapan kad.

Perkara yang membezakan apabila kita menggunakan kad debit dan kad kredit adalah kad debit menggunakan wang daripada akaun bank kita sendiri. Manakala kad kredit menggunakan wang daripada bank pengeluar kad yang bersetuju untuk membayar terlebih dahulu perbelanjaan kita.

Bagaimana Kod Keselamatan Tersebut Berfungsi?

Kod keselamatan ini secara umumnya hanya mempunyai satu peringkat keselamatan sahaja untuk apa-apa transaksi sama ada online ataupun melalui panggilan telefon. Dengan meminta kod keselamatan, nombor kad dan sebagainya, para penjual boleh mengesahkan bahawa kita adalah pemilik kad dan pengguna yang sah.

Kebiasaannya, kita seharusnya memiliki kad tersebut untuk memberikan semua maklumat yang diperlukan.

Kod keselamatan mempunyai fungsi yang berbeza daripada nombor PIN yang kita gunakan di mesin ATM. Ia juga berlainan dengan kod yang dihasilkan oleh cip yang ada di kad kita.

Cip tersebut dibaca oleh card reader dan kod unik akan dihasilkan setelah kita memasukkan nombor PIN. Jadi, kita harus sentiasa berwaspada untuk tidak mendedahkan kod keselamatan tersebut termasuklah nombor kad dan tarikh tamat tempoh kad.

Ini adalah untuk mengelakkan pembelian palsu walaupun kad kita tidak berada di tangan mereka.

Bagaimana Nak Elak Daripada Hal Ini Terjadi?

  1. Jangan
    beritahu sesiapa nombor PIN. Jangan tulis di mana-mana atau bawa bersama kita.
  2. Elakkan
    menggunakan kad debit. Penggunaan kad kredit lebih selamat kerana penolakkan
    wang tidak berlaku secara terus daripada akaun bank kita.
  3. Jika
    kita hendak mempunyai kad debit, pastikan kita daftar untuk menerima mesej
    pemberitahuan aktiviti akaun kita sama ada melalui emel atau SMS.
  4. Sentiasa
    memantau bil-bil dan penyata akaun bank untuk mengesan apa-apa transaksi yang
    mencurigakan

Kesimpulannya, penggunaan
kad debit sememangnya memudahkan urusan harian. Tetapi, kita kena sentiasa
berwaspada dan memahami ciri-ciri kad debit seperti kod keselamatan kad boleh
mengundang risiko.

Ditulis oleh Abang Yazree Hazwan. Penulis merupakan seorang Eksekutif di sebuah syarikat penyelidikan pasaran di Malaysia. Mempunyai pengalaman dalam bidang insurans/reinsurans di syarikat reinsurans tempatan.

Sumber Rujukan: https://www.creditkarma.com/savings/i/debit-card-security-code/



Source link