Artikel Terkini

Koronavirus, Tema Utama Pasaran Global Minggu Ini (27–31 Januari 2020)


Minggu lalu pasaran saham Wall Street mencatat kejatuhan pertama tahun ini berikutan penyebaran jangkitan koronavirus yang boleh membawa maut. Jangkitan yang telah tersebar luas di Wuhan, China itu turut mengakibatkan pasaran saham global jatuh ke paras yang lebih rendah.

Penutupan Bursa Saham New York (NYSE) pada hari Jumaat lepas
(24 Januari 2020) menyaksikan Dow Jones Industrial Average (DJIA)
menyusut 0.58%, manakala S&P 500 jatuh 0.90% dan Indeks komposit Nasdaq
pula ditutup 0.93% lebih rendah. Kejatuhan ini diketuai oleh kaunter-kaunter
kesihatan, perkhidmatan pengguna dan tenaga.

Aset berisiko menyusut dengan signifikan berikutan peralihan pelabur dari pasaran saham kepada aset yang lebih selamat. Pelabur bimbang koronavirus sedia ada akan tersebar lebih meluas di peringkat global dan setakat pada pukul 3 pagi hari Selasa (28 Januari 2020) virus tersebut telah meragut lebih daripada 100 nyawa. Minggu ini pelabur dijangka lebih tertumpu kepada aset safe-haven di mana komoditi emas dan matawang Yen akan terus mengukuh jika jumlah kes koronavirus terus meningkat.

Pemain pasaran akan terus meneliti perkembangan koronavirus
pada minggu ini tetapi perhatian juga akan terarah kepada laporan pendapatan
syarikat, penetapan dasar monetari The Federal Reserve (The Fed)
dan juga data-data ekonomi yang akan dikeluarkan oleh ekonomi-ekonomi besar
dunia.

Lebih daripada 40% syarikat dalam indeks S&P 500 akan melaporkan pendapatan suku keempat tahun 2019 pada minggu ini. Di antaranya adalah syarikat gergasi seperti Apple, Starbuck, Boeing, Tesla, Microsoft, Facebook, Amazon, Coca-Cola, McDonald’s, Caterpillar dan Exxon.

Secara keseluruhannya, tema utama pasaran global pada minggu ini akan lebih berkisar tentang koronavirus, seterusnya keputusan The Fed pada hari Khamis (30 Januari) dan laporan pendapatan di Wall Street.

Berikut adalah lima catalyst utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Koronavirus Risiko Pasaran Global

Kebolehan untuk koronavirus berjangkit semakin tinggi dan pesakit dijangka akan semakin meningkat dari hari ke hari, menurut Suruhanjaya Kesihatan China pada Ahad (26 Januari 2020). Setakat hari Selasa (28 Januari 2020) pukul 3 pagi waktu Malaysia, 2,700 orang telah disahkan terkena jangkitan koronavirus di seluruh dunia dengan kes kematian meningkat lebih daripada 100 orang.

Terdapat juga kes yang dilaporkan di luar China termasuk,
Thailand, Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Singapura dan Malaysia.

Pemain-pemain pasaran bimbang jika ianya lebih teruk berbanding virus SARS yang pernah berlaku di China pada tahun 2003. Ketidaktentuan dalam isu global adalah perkara yang tidak digemari oleh pelabur, dan koronavirus sudah cukup untuk menyuntik ketidakpastian di dalam ekonomi.

Seperti biasa, ketidaktentuan dalam pasaran akan memaksa
pelabur menyimpan aset mereka dalam bentuk yang lebih selamat atau
sekurang-kurangnya dapat mengekalkan nilai wang mereka. Dalam situasi berisiko
seperti ini, Yen, emas dan bon-bon kerajaan Amerika Syarikat akan meningkat
disebabkan permintaan yang tinggi.

2. Penetapan Dasar Monetari Federal Reserve

Bank pusat Amerika Syarikat ini dijangka tidak banyak mengubah unjurannya terhadap ekonomi kecuali pemotongan kadar sebelum ini banyak membantu menaikkan semula keadaan kewangan di negara itu. Kadar faedah Fed Fund Rate dijangka akan kekal dalam julat 1.50%-1.75% pada Khamis.

Dalam sidang media, seperti biasa pasaran akan tertumpu
kepada Pengerusi The Fed, Jerome Powell yang berkemungkinan akan lebih
optimis selepas termeterainya perjanjian fasa satu antara AS dan China.

Tumpuan akan lebih terarah kepada isu penyata imbangan bank pusat. The Fed telah membeli US$60 bilion bon kerajaan setiap bulan bagi mengembangkan penyata imbangannya. Ramai pelabur percaya tindakan ini bagi menambah kecairan di dalam pasaran sekaligus menggalakkan perkembangan ekonomi.

Ini juga adalah mesyuarat pertama The Fed pada tahun
2020 dengan ahli-ahli baru yang mengundi dasar kali ini adalah Neel Kashkari
(cawangan Fed Minneapolis), Robert Kaplan (Dallas), Loretta Mester (Cleveland),
Patrick Harker (Philadelphia). Berdasarkan nama-nama tersebut, ahli majlis
mesyuarat bank pusat pada tahun ini dilihat lebih cenderung kepada kadar faedah
yang rendah terutamanya Neel Kashkari.

3. Laporan Pendapatan di Wall Street

Terdapat 135 syarikat dalam indeks S&P 500 yang akan mengumumkan laporan pendapatan mereka pada minggu ini dengan fokus terarah kepada kaunter-kaunter teknologi, industri dan pengguna. Syarikat Apple akan melaporkan pendapatannya pada suku keempat tahun lalu pada hari Selasa (28 Januari 2020), manakala Microsoft dan Facebook pada hari Rabu (29 Januari 2020). Syarikat Boeing dan General Electric akan melaporkan pada hari Rabu dan gergasi McDonald’s juga akan mengumumkan pendapatannya pada hari sama.

Laporan pendapatan telah bermula sejak dua minggu lalu dan
setakat ini prestasi keseluruhan adalah memberangsangkan di mana 68.2% syarikat
merekodkan prestasi lebih baik daripada jangkaan.

Kumpulan syarikat dengan akronim ‘FAANG’ akan menjadi tumpuan
kerana banyak menyumbang kepada kenaikan pasaran saham Wall Street.

Mewakili huruf ‘F’ dalam akronim ‘FAANG’, Facebook dijangka
merekodkan pertumbuhan pendapatan sebanyak 6.2% dengan pendapatan dari tahun ke
tahun  meningkat sebanyak 23.4%.
Microsoft pula dijangka mencatat
peningkatan pendapatan sebanyak 20%.

Amazon pada hari Khamis (30 Januari 2020) pula dijangka melaporkan kenaikan pendapatan sebanyak 18.7% dan akhir sekali syarikat induk Google, Alphabet diramalkan merekodkan penurunan pendapatan sebanyak 1.7%.

4. Brexit Semakin Hampir

Ini adalah minggu terakhir Britain sebagai ahli Kesatuan Eropah (EU). Selepas berlakunya Brexit pada pukul 11 malam hari Jumaat (31 Januari 2020) ini, UK bebas untuk memeterai perjanjian perdagangan dengan negara-negara selain EU, contohnya Amerika Syarikat.

UK seterusnya akan memasuki ‘tempoh transisi’ bersama EU
sehingga 31 Disember 2020. Pada tempoh tersebut UK akan berusaha mendapatkan
perjanjian perdagangan dengan Eropah bagi memastika barangan UK tidak berhadapan
dengan tariff ke negara-negara Kesatuan Eropah.

Setiausaha Brexit, Stephen Barclay berkata UK akan
menerbitkan objektif rundingan mereka dan menegaskan UK hanya akan mendapatkan
perjanjian yang baik daripada Kesatuan Eropah.

5. Data Ekonomi Penting

Banyak data-data penting yang akan dikeluarkan pada minggu ini termasuklah bacaan awal pertumbuhan ekonomi AS pada suku keempat tahun 2019. Jangkaan untuk data kali ini ialah ekonomi Amerika Syarikat berkembang 2.2% lebih tinggi daripada 2.1% yang dicatatkan pada suku ketiga. Zon Eropah akan mengeluarkan data pertumbuhan ekonomi pada hari Jumaat (31 Januari 2020) dengan jangkaan kenaikan 0.2% berbanding suku ketiga.

Minggu ini, akan dimulakan dengan data dari Jerman iaitu Ifo
Business Climate
yang menunjukkan indeks perniagaan melibatkan syarikat
pembinaan, borong, peruncitan dan perkhidmatan.

Bank of England (BoE) juga akan menetapkan dasar monetarinya pada hari Khamis (30 Januari 2020) pukul 8 malam dengan jangkaan kadar kekal di paras 0.75%.

Antara data penting yang menjadi perhatian pasaran akan
dikeluarkan pada hari Jumaat yang melibatkan perbelanjaan pengguna di Amerika
Syarikat. Data inflasi keutamaan The Fed, Personal Consumption
Expenditure
(Core-PCE) dijangka hanya meningkat 0.1%.

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link