Artikel Terkini

Kuih Bongkol, juadah istimewa di Sarawak ketika Ramadan


KUCHING : Keenakan dan rasa lemak manis membuatkan ramai yang terpikat dengan rasa kuih Bongkol.

Malah kuih tradisi ini sentiasa dicari-cari oleh penggemarnya terutama ketika bulan Ramadan.

Bagi pengusaha kuih Bongkol, Sanuyah Jaya, walaupun kuih ini boleh didapati pada hari-hari kebiasaan, tetapi kebanyakan pengusaha memilih untuk menghasilkannya pada bulan suci ini kerana permintaannya yang luar biasa.  

Jelasnya, proses pembuatan sedikit rumit dan memerlukan kemahiran khusus terutamanya dalam penghasilan pembalut kuih tersebut

“Penghasilan kuih bongkol ini ada caranya tersendiri. Mula-mula anda perlu menggunakan daun pisang untuk dipotong. Selepas itu, hasilkan balutannya dan kukus bersama adunan kuih,” kongsinya bersama Astro AWANI.

Menariknya, pembuatan kuih ini amat menitik beratkan penghasilan acuannya melalui daun pisang. -Gambar Fail

Tambahnya lagi, kemahiran membuat kuih itu diwarisi daripada ibu mertuanya sejak lima tahun lalu.

Katanya, segala tempahan kini dilakukan hanya secara dalam talian seperti yang disarankan oleh kerajaan.

Justeru, pesanan pelanggan akan diterima melalui Whatsapp dan Facebook sepanjang tempoh ini selain ianya dapat memudahkan urusan jual beli antara penjual dan pelanggan.

“Sebelum ini saya merupakan pelanggan kepada mak mertua saya sendiri. Selepas itu, ia semakin dikenali dan mereka mula menghubungi saya bagi mendapatkan tempahan. Sekarang, saya mempromosikannya melalui laman Facebook,” beritahu Sanuyah.

Di samping itu, beliau turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan masa terluang ini untuk mencuba resepi kuih Bongkol ini kerana ianya banyak dikongsi dalam laman-laman sosial selain boleh dijadikan penyeri juadah berbuka puasa bersama keluarga.

Kuih Bongkol sentiasa menjadi tarikan apabila tibanya bulan Ramadan. -Gambar Fail

Sementara itu, bagi pengemar kuih ini, Mohd Rahmat Kamarol, kelazatan kuih Bongkol membuatkan dirinya teruja untuk berkongsi manisan tersebut bersama keluarga pada waktu berbuka.

“Kuih ini adalah salah satu kuih tradisional orang Sarawak. Lemak dan manisnya mencukupi dan sesuai dijadikan juadah bersama tersayang,” katanya ketika ditemu bual.





Source link