Artikel Terkini

Layakkah Adik Beradik Tiri Mendapat Harta Pusaka Saya Sekiranya Saya Meninggal Dunia?


Antara
permasalahan yang banyak masyarakat keliru adalah berkaitan hak perwarisan ahli
keluarga tiri.

Ayah tiri,
mak tiri, anak tiri dan adik beradik tiri.

Jawapan bagi
persoalan ini tidak straight forward.

Ianya tidak
semudah ya atau tidak sahaja. Kita perlu mendapatkan maklumat dan latarbelakang
yang lebih terperinci sebelum menjawabnya.

Apakah yang
dimaksudkan dengan ahli keluarga tiri?

Yang
dikatakan mendapat hak harta pusaka itu, harta pusaka siapa yang dimaksudkan?

Dan beberapa
persoalan lain yang perlu diperjelaskan dahulu sebelum menjawab soalan; adakah
adik beradik tiri berhak mendapat harta pusaka?

Siapa Yang Berhak Mendapat Harta Pusaka?

Mengikut Undang-Undang Pusaka Islam, terdapat tiga sebab kepada
seseorang itu berhak memperolehi harta pusaka. Sama ada disebabkan nasab
(pertalian darah), nikah (perkahwinan) dan al-wala’.

Daripada sudut bahagian penerimaan harta pusaka, setiap ahli waris berbeza mengikut keakraban susur galur hubungan waris dengan si mati.

Sebagai contoh;
isteri, suami dan anak-anak merupakan waris terdekat yang didahulukan
pembahagian harta pusaka untuk mereka.

Manakala adik
beradik arwah pula dikemudiankan pembahagian mereka. Mereka hanya berhak
menerima harta pusaka arwah sekiranya arwah tidak meninggalkan anak lelaki
dan/atau bapa.

Bahagian Faraid Adik-Beradik

Seperti yang
telah dinyatakan di atas, adik beradik kepada si mati, hanya boleh menerima
bahagian faraid mereka jika arwah tidak mempunyai walau seorang anak lelaki
dan/atau bapa.

Jika arwah
ketika meninggal dunia tidak mempunyai anak lelaki sama ada tak pernah
berkahwin, atau berkahwin tetapi tidak mempunyai anak lelaki atau mempunyai
anak lelaki tetapi telah meninggal dunia, maka barulah adik beradik kepada
arwah mendapat hak dalam pembahagian harta pusaka.

Berapa bahagian
adik beradik?

Berbeza
mengikut keakraban susur galur hubungan. Merujuk kepada Surah An-Nisa’ ayat 12
dan 176, jenis keakraban ini boleh dibahagikan kepada dua.

1. Bagi adik beradik seibu dan sebapa (adik beradik kandung) dan adik beradik sebapa (adik beradik tiri).

  • Jika hanya ada seorang sahaja waris perempuan (adik beradik), maka bahagiannya adalah ½ daripada baki harta pusaka tersebut.
  • Jika hanya ada seorang sahaja waris lelaki (adik beradik), maka bahagiannya adalah kesemua baki yang tinggal.
  • Jika ada 2 orang sahaja waris perempuan (adik beradik), maka bahagian mereka adalah 2/3 daripada baki harta pusaka yang ada.
  • Jika ada waris lelaki dan perempuan, tak kisah berapa orang, maka bahagian mereka adalah lelaki 2 bahagian, perempuan 1 bahagian.

Pembahagian ini
telah jelas Allah tunjukkan dalam Surah An-Nisa’ ayat 176.

“.. Jika seseorang mati
yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi
saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati;
dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya,
jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya
itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan
oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan
perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan..”

2. Bagi adik-beradik seibu (adik-beradik tiri)

  • Jika hanya ada waris tunggal (adik beradik) sama ada lelaki atau perempuan, maka bahagian waris tersebut adalah 1/6 daripada baki harta pusaka.
  • Jika waris yang ada (adik beradik) lebih dari seorang, maka bahagian mereka semua adalah 2/3 daripada baki harta pusaka.

Pembahagian ini
juga telah Allah jelaskan dalam Surah yang sama pada ayat 12.

“.. Dan jika si mati yang diwarisi itu,
lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan
seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi
tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka
(saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada
satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan)..”

Kesimpulannya

Adik beradik
tiri turut mempunyai hak dalam pembahagian harta pusaka. Walaubagaimanapun,
seperti adik beradik kandung, hak faraid mereka hanya ada jika telah penuh
syarat-syaratnya iaitu arwah tidak mempunyai anak lelaki dan bapa sudah
meninggal dunia.

Merujuk
kepada dua ayat daripada Surah An-Nisa, terdapat perbezaan pembahagian harta
pusaka bagi adik beradik tiri sebelah bapa dengan sebelah ibu. Ini kerana
keakraban susur galur hubungan adalah lebih rapat di sebelah bapa.

Ditulis oleh Fakhrur Radzi, seorang konsultan di sebuah firma runding perancangan harta dan urus pusaka.



Source link