Artikel Terkini

Lima Catalyst Utama Pasaran Global Pada Minggu Ini (13–17 Januari 2020)


Indeks utama saham Wall Street pada akhir dagangan minggu lalu ditutup rendah selepas laporan data pekerjaan Non-Farm Payroll (NFP) meleset daripada jangkaan sebahagian besar pasaran. Tetapi jika dilihat pada keseluruhan minggu tersebut, Dow Jones Industrial Average (DJIA) naik sebanyak 0.66%, S&P 500 pula mencatat kenaikan hampir 1%, manakala Nasdaq menokok sebanyak 1.75%.

Data NFP yang dikeluarkan pada Jumaat minggu lalu hanya
mencatat tambahan pekerjaan sebanyak 145,000 berbanding jangkaan 164,000
sekaligus mengecewakan pasaran kerana bacaan sebenar yang lebih rendah daripada
ramalan. Data juga menunjukkan data proksi kepada inflasi iaitu kadar gaji
purata per jam mencatat bacaan kurang memberangsangkan.

Fokus pada minggu ini akan beralih semula kepada isu perang perdagangan Amerikat Syarikat – China. Beijing akan menghantar Naib Perdana Menteri mereka, Liu He untuk menandatangani perjanjian perdagangan fasa satu di Washington pada Rabu (15 Januari 2020). Pasaran kini tertanya-tanya tentang maklumat lanjut dalam perjanjian tersebut yang akan menjadi pencetus pergerakan pasaran minggu ini.

Selain itu, minggu ini
juga menyaksikan banyaknya data-data ekonomi penting yang akan dikeluarkan oleh
Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman.
Pasaran akan meneliti data tersebut khususnya AS sama
ada masih menunjukkan pengukuhan dalam ekonomi terbesar dunia itu. United
Kingdom (UK) juga akan mengeluarkan beberapa data penting dan Jerman pula akan
berfokus kepada data pertumbuhan ekonomi tahun 2019.

Laporan pendapatan suku keempat juga akan bermula seawal hari Selasa (14 Januari 2020) dengan sektor perbankan Amerika Syarikat menjadi perhatian.

Daripada segi politik, Parti Demokrat di Amerika Syarikat dilihat secara perlahan-lahan mengalihkan perhatian mereka daripada isu ‘pemecatan Trump’ dengan memberi lebih fokus kepada Pilihanraya Presiden hujung tahun ini.

Berikut adalah lima catalyst utama yang bakal menjadi perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Perjanjian Perdagangan Amerika Syarikat – China

Presiden Donald Trump dijangka akan menandatangani perjanjian awal perdagangan antara AS-China pada Rabu (15 Januari 2020) sekaligus mengurangkan ketegangan yang membebani pasaran global selama ini.

Di bawah perjanjian ini, China akan meningkatkan import dari Amerika Syarikat dan juga bersumpah untuk melindungi hak harta intelek. Kerajaaan Trump pada bulan lalu bersetuju untuk membatalkan tarif baru bernilai US$156 bilion terhadap barangan China dan mengurangkan kadar cukai sedia ada terhadap US$120 bilion import dari China.

Wakil China, Liu He akan melawat Washington bagi
menandatangani perjanjian fasa satu bersama AS pada Rabu. Tetapi belum ada laporan tentang bilakah rundingan fasa dua akan
bermula. Jika kedua-dua pihak gagal memberikan komitmen ia bakal mencetuskan
semula ketegangan kerana masih banyak isu penting yang belum diselesaikan dalam
perdagangan dua hala.

2. Perkembangan Isu Brexit

Perdana Menteri United Kingdom (UK), Boris Johnson akan meneruskan usahanya membawa keluar UK dari Kesatuan Eropah (EU) mengikut lunas undang-undang negara itu. Dewan tertinggi Parlimen UK, House of Lords dijangka akan menyokong secara majoriti perjanjian keluar dari EU selepas Parti Konservatif menang dengan majoriti besar dalam Pilihanraya Umum baru-baru ini. Sebelum perjanjian itu di bawa ke House of Lords, ia terlebih dahulu diluluskan oleh House of Commons pada minggu lepas.

Fokus kini terarah kepada rundingan fasa dua di mana Presiden
Suruhanjaya Eropah, Ursula Von der Leyen berada di London pada minggu lalu
percaya masa begitu suntuk dan banyak perkara perlu dicapai dalam tempoh yang
singkat.

Britain akan meninggalkan EU pada 31 Januari 2020 selepas beberapa penangguhan tarikh Brexit dibuat sejak setahun yang lepas. Tempoh 11 bulan selepas itu penting untuk kedua-dua pihak memeterai perjanjian perdagangan selepas tempoh transisi berakhir pada akhir tahun 2020.

Persoalannya sekarang, adakah tempoh itu cukup untuk mencapai kata sepakat dengan adanya isu-isu kritikal yang membebani kedua-dua pihak?

3. Laporan Pendapatan Suku Keempat 2019

Pasaran saham Amerika Syarikat terus mengukuh dan mencapai
rekod tertinggi pada minggu lalu tanpa mengendahkan berita-berita buruk dari
segi politik dan geopolitik. Ia seakan tidak berhenti hanya di sini dengan
musim pelaporan pendapatan syarikat akan bermula pada hari Selasa (14 Januari).

JPMorgan Chase, Citygroup, Wells Fargo akan membuka tirai laporan pada Selasa dan diikuti oleh Bank of America, Goldman Sachs dan Morgan Stanley.

Analisa yang dibuat oleh Refinitiv menunjukkan indeks S&P 500 mencatat penurunan secara keseluruhan dengan pendapatan untuk setiap unit saham susut 0.6%. Ia disebabkan oleh penurunan kaunter-kaunter tenaga dan industri berikutan isu perang dagang.

Walaubagaimanapun, kaunter perbankan dijangka mencatat laporan lebih baik dengan peningkatan 11.2% dalam sektor tersebut.

4. Data Ekonomi Penting

Data inflasi terbaru Amerika Syarikat dijangka sejajar dengan sasaran bank pusat iaitu 2%, manakala jualan runcit pula akan diteliti kerana terdapat bukti sektor tersebut mengalami kekurangan jualan pada tempoh perayaan bulan lepas. Pelabur juga akan mendapat peluang untuk mendengar komen-komen dari ahli The Federal Reserve mengenai situasi ekonomi semasa dan juga halatuju dasar bank pusat di masa hadapan.

Selain daripada perkembangan Brexit, minggu ini adalah tempoh yang sibuk bagi pasaran UK dengan beberapa data penting akan dikeluarkan termasuk laporan pertumbuhan ekonomi, perdagangan, pengeluaran industri, jualan runcit dan data inflasi. Data-data ini akan diteliti oleh bank pusat, khususnya Gabenor Mark Carney.

Jerman pula akan mengeluarkan data pertumbuhan ekonomi tahun 2019 pada Rabu (15 Januari 2020) selepas kemelesetan yang dialami oleh sektor pembuatan ekonomi terbesar Zon Eropah itu. Penganalisa ekonomi menjangkakan pertumbuhan merekodkan bacaan 0.6%, yang merupakan kadar paling rendah pernah dicatatkan sejak tahun 2013.

Pada hari Khamis (16 Januari 2020) pula, European Central Bank (ECB) pula akan menerbitkan minit mesyuarat dasar monetari bulan Disember yang pertama kali dipengerusikan oleh Presiden Christine Lagarde.

5. Pengukuhan Matawang Negara Pesat Membangun

Matawang negara China, Yuan mencapai paras tertinggi dalam tempoh lima bulan berbanding Dolar AS setakat pada hari Isnin (13 Januari 2020) berikutan keyakinan terhadap unjuran ekonomi di masa hadapan selepas termeterainya perjanjian perdagangan fasa satu bersama Amerika Syarikat minggu ini.

Nilai matawang Yuan naik ke paras setinggi 6.8883 berbanding
Dolar AS. Matawang negara-negara pesat membangun (emerging markets) yang lain juga mengikut jejak langkah Yuan dengan
Rubble (Rusia) naik ke paras tertinggi 20 bulan lalu berbanding Dolar AS.
Rupiah Indonesia, Lira Turki dan Rupee India pula naik dalam julat 1.4% hingga
2.0% berbanding greenback (Dolar AS).

Sumber Rujukan:

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link