Uncategorized

Lima Catalyst Utama Pelabur Dalam dan Luar Negara Minggu Ini (23-27 September 2019)


Perkembangan dalam isu geopolitik global dan rundingan perdagangan Amerika Syarikat dan China akan menjadi perhatian penting pada minggu ini berikutan kesukaran indeks saham global untuk membuat kenaikan.

Bank pusat Amerika Syarikat telah memotong kadar faedah Fed Fund Rate buat kali kedua pada Khamis (19 September 2019) lalu. Namun, formasi undian menunjukkan tiga daripada ahli pengundi tidak bersetuju untuk menurunkan kadar faedah yang mana menunjukkan perbezaan di kalangan ahli Federal Open Market Committee (FOMC).

Pada awal
pembukaan pasaran hari Isnin (23 September 2019), kebanyakan indeks saham Asia
meleset

dengan pelabur sedang menunggu perkembangan lebih jelas dalam rundingan
AS-China. Pasaran minyak mentah pula menokok 1% berikutan ketegangan di Timur
Tengah.

Penganalisa melihat situasi pasaran masih goyah dengan rusuhan berterusan di Hong Kong, ketegangan di antara Iran-Arab Saudi-AS dan juga ketidaktentuan perdagangan global.

Indeks utama Asia pada separuh dagangan hari Isnin,
menunjukkan indeks blue-chip China
CSI300 susut sehingga 1.49%. Di Hong Kong, Indeks Hang Seng susut 0.80%. Bagi
pasaran Asia Tenggara, Indeks Komposit Kuala Lumpur turut susut 0.26% di mana
indeks negara-negara jiran turut merudum pada penutupan pasaran hari Isnin.

Berikut adalah lima tema utama yang bakal menjadi
perhatian para pelabur sepanjang minggu ini.

1. Perkembangan Rundingan Dagangan AS-China

Timbalan perunding perdagangan dari kedua-dua negara
AS-China menyambung rundingan buat pertama kali sejak hampir dua bulan lalu.
Fokus mereka adalah untuk menyediakan asas kepada rundingan peringkat tertinggi
pada awal Oktober hadapan. Adakah mereka akan dapat mencapai persafahaman di
sebalik perbezaan yang ada?

Hasil
rundingan menunjukkan perkembangan positif dengan kedua-dua wakil perunding
telah mengeluarkan kenyataan.
Wakil dari Amerika Syarikat menggambarkan rundingan selama
dua hari bersama China adalah produktif dan menambah bahawa rundingan yang
dirancang pada bulan hadapan akan diteruskan.

Pihak China pula mengatakan rundingan itu adalah
konstruktif dan juga menganggap perbincangan yang baik bagi merancang rundingan
peringkat tertinggi pada awal Oktober 2019.

Walaupun
rundingan dua hari itu dilihat positif, namun masih belum cukup meyakinkan
pasaran untuk kedua negara mencapai perjanjian dalam masa terdekat.

Hal ini mungkin disebabkan perkembangan yang berlaku
pada Jumaat (20 September 2019) apabila wakil China membatalkan lawatan ke
ladang di Montana dan Nebraska.

2. Tumpuan Kepada Isu Brexit

Pasaran Eropah pada minggu ini akan tertumpu kepada pengumuman Mahkamah UK tentang penggantungan Parlimen. Mahkamah dijangka akan mengemukakan keputusan sama ada penggantungan Parlimen oleh Perdana Menteri Boris Johnson, adalah sah atau sebaliknya.

Tindakan Boris menggantung Parlimen adalah untuk menggagalkan usaha melanjutkan tarikh keluar UK dari Kesatuan Eropah (EU). Jika mahkamah berpihak kepada Parlimen, ini akan memberikan lebih banyak masa kepada pembangkang untuk menentang tarikh Brexit pada 31 Oktober 2019.

Pasaran juga akan menunggu sama ada Boris Johnson
berjaya memeterai perjanjian dengan EU walaupun potensinya agak kecil. Komen
terbaru oleh Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean Claude Juncker memberi sedikit
harapan dalam perjanjian Brexit sehingga menyebabkan matawang Sterling melonjak
ke paras tertinggi sejak bulan Julai 2019.

3. Data Ekonomi Amerika Syarikat

Data ekonomi AS penting untuk diperhatikan ketika ini, untuk pelabur melihat kesan daripada perang dagang dengan China khususnya kepada data seperti pertumbuhan ekonomi dan inflasi. Minggu ini terdapat beberapa data penting yang akan dikeluarkan termasuklah pertumbuhan ekonomi pada hari Khamis (26 September 2019).

Bacaan akhir pertumbuhan KDNK kali ini dijangka mengejutkan pasaran selepas bacaan awal mencatat bacaan sebanyak 2%. Dua komponen daripada pertumbuhan yang akan dilihat adalah aspek perbelanjaan pengguna dan juga pelaburan oleh perniagaan.

Data tempahan barangan tahan lama (durable goods) pula akan dikeluarkan
pada hari Jumaat (27 September 2019). Data ini penting kerana tempahan barangan
seperti mesin dilihat sebagai satu aspek pelaburan oleh syarikat yang
menggambarkan keadaan semasa perniagaan ketika ini.

Satu lagi data penting adalah data inflasi iaitu laporan perbelanjaan penggunaan peribadi (Core PCE Price Index). Bacaan data ini dikatakan sebagai data inflasi keutamaan The Fed, kerana fokusnya terhadap perbelanjaan pengguna di Amerika Syarikat. Ia juga akan dikeluarkan pada hari Jumaat (27 September 2019).

4. Indeks Sektor Ekonomi PMI

Kebimbangan terhadap situasi terkini ekonomi Zon-Eropah, adalah sebab mengapa European Central Bank (ECB) memulakan semula pelonggaran kuantitatif (QE) dan juga menurunkan kadar faedah pada minggu lalu.

Bacaan indeks PMI penting kerana ia adalah indikasi
awal tentang keadaan semasa kesihatan ekonomi. Tinjauan PMI ini dibuat terhadap
perniagaan dan juga pengurus pembelian yang mana sering terkesan lebih awal
kepada perubahan ekonomi.

Mario Draghi menggesa Zon-Eropah pada minggu lalu untuk berbelanja bagi melihat perkembangan dalam pertumbuhan ekonomi. Bacaan positif indeks PMI pada hari Isnin (23 September 2019) sudah tentu melegakan pasaran Eropah tetapi bacaan negatif akan memaksa kerajaan-kerajaan Eropah mengembangkan fiskal di negara masing-masing.

5. Tumpuan Pasaran Malaysia

Pelabur antarabangsa menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia pada minggu lalu, menjual ekuiti tempatan bernilai RM79.4 juta di antara 17 hingga 19 September. Ia berbanding belian bersih asing RM247.1 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama pada minggu sebelumnya.

Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research
(MIDF Research), Adam M Rahim, berkata jualan itu telah menjadikan aliran
keluar bersih asing setakat ini dari Malaysia kekal melebihi RM7.0 bilion.

Bursa
Malaysia dibuka bercampur-campur pada hari Isnin memandangkan pelabur global
menanti arah baharu sementara menimbang ketidakpastian berterusan dalam pasaran
global.

Sumber
Rujukan:

  1. https://www.cnbc.com/2019/09/20/as-stocks-reach-for-new-highs-markets-could-be-swayed-by-fed-speakers.html
  2. https://www.investing.com/news/economy/economic-calendar–top-5-things-to-watch-this-week-1983302
  3. https://www.investing.com/news/stock-market-news/us-stock-futures-gain-on-better-trade-tone-oil-climbs-1983487
  4. https://www.investing.com/news/stock-market-news/us-stock-futures-gain-on-better-trade-tone-oil-climbs-1983487
  5. https://www.marketwatch.com/story/dow-and-sp-500-set-to-test-record-highs-as-trump-administration-said-to-exempt-china-products-from-tariffs-2019-09-20
  6. https://www.chicagotribune.com/business/sns-tns-bc-weekahead-20190920-story.html
  7. https://www.bloomberg.com/news/articles/2019-09-22/yuan-gains-yen-slips-as-trade-talks-progress-markets-wrap?cmpid=socialflow-facebook-markets&utm_campaign=socialflow-organic&utm_content=markets&utm_medium=social&utm_source=facebook
  8. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/09/23/foreign-investors-turn-net-sellers-again
  9. https://www.thestar.com.my/business/business-news/2019/09/23/klci-dips-in-early-trade-fgv-up-in-active-trade

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.

Komen

komen





Source link