Artikel Terkini

Lima Perkara Penting Jadi Tumpuan Pelabur Pada Tahun 2020


Tahun 2020 baru saja bermula dan semestinya kita berharap tahun ini akan menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya. Namun, kita harus peka dengan apa yang bakal berlaku agar kita dapat bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Perang perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China akan terus menjadi catalyst utama kepada ekonomi global, di samping tindak-tanduk pemimpin paling berkuasa dunia Presiden Donald Trump menjelang pilihanraya presiden AS pada tahun ini.

Beliau dijangka akan terus memberi tekanan kepada The Federal Reserve (The Fed) untuk
melonggarkan dasar monetari dalam usaha untuk mengembangkan ekonomi Amerika
Syarikat dan juga persediaan beliau untuk menghadapi pilihanraya presiden.

Faktor-faktor berikut ditambah dengan isu Brexit di antara United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU) akan memberi tekanan kepada pasaran rantau terbabit dan juga usaha European Central Bank (ECB) untuk menggalakkan aktiviti ekonomi di blok tersebut. Harga minyak mentah pula dijangka akan menyusut sekiranya OPEC dan Russia tidak menambah pengurangan bekalan mereka.

Walaupun dengan risiko-risiko yang pelbagai, pasaran global sebenarnya mendapat keuntungan daripada pengukuhan ekuiti pada 2019. Majoriti penganalisa melihat tahun 2020 akan terus memangkin kenaikan harga aset. Tetapi, isu seperti perang perdagangan, pilihanraya presiden AS dan Brexit akan menjadi antara risiko utama kepada pasaran global pada tahun ini.

1. Retorik Presiden Donald Trump

Presiden Trump akan cuba sedaya upaya untuk memenangi
pilhanraya presiden AS pada November 2020. Segala retorik beliau dijangka akan
terus mendominasi laporan berita sehingga hujung tahun ini.

Pasaran saham biasanya
bergerak dengan baik pada tahun pilihanraya kerana White House akan cuba
memancing undi dengan membuatkan orang ramai berasa selesa dengan ekonomi
semasa.

Trump dikatakan bakal memperkenalkan pemotongan cukai 2.0
kesinambungan daripada pemotongan cukai korporat yang diperkenalkan pada pilihanraya
presiden sebelum ini. Jika benar beliau membawa taktik yang sama, maka ini akan
mengangkat popularitinya dan juga pasaran saham sebelum pilihanraya November
akan datang.

2. Perang Perdagangan Amerika Syarikat-China

Perang perdagangan di antara AS-China yang membayangi ekonomi dunia sepanjang tahun 2019, akan terus menghantui ekonomi dan pasaran pada tahun 2020.

International Monetary Fund (IMF) meramalkan tarif yang dikenakan oleh kedua-dua pihak dan juga ketidaktentuan dalam hubungan dua negara besar ini akan menghapuskan US$700 billion daripada nilai ekonomi dunia pada Oktober 2020. Ini bersamaan dengan 0.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

Berkemungkinan kesannya tidaklah seteruk yang dijangka jika mengambil kira perkembangan dalam rundingan perdagangan ketika ini, di mana China bersetuju untuk meningkatkan pembelian produk pertanian dari Amerika Syarikat dengan syarat tarif dapat dikurangkan oleh AS untuk sesetengah produk yang dieksport oleh China.

Setakat ini masih belum ada laporan tentang bilakah AS dan China akan menandatangani perjanjian fasa satu. Sebelum ini laporan menunjukkan kedua-dua pihak akan memeterai perjanjian itu secara rasmi pada minggu pertama bulan Januari 2020. Wakil perunding dari Amerika Syarikat, Robert Lighthizer berkata pada 13 Disember 2019 bahawa perjanjian fasa satu akan ditandatangani pada minggu pertama bulan Januari 2020.

Walaupun ia ditandatangani dalam masa terdekat, tetapi majoriti tarif sedia ada akan terus kekal selagi isu utama seperti hak harta intelek dan subsidi kerajaan tidak diselesaikan oleh China.

3. Halatuju The Federal Reserve Dipengaruhi Politik?

Presiden Donald Trump
akan terus menekan The Fed untuk melonggarkan dasar bagi menaikkan lagi ekonomi
Amerika Syarikat menjelang pilihanraya.

Pungutan suara yang dijalankan menunjukkan Presiden Trump mempunyai peluang sama rata dengan calon dari Parti Demokrat untuk memenangi pilihanraya. Dengan retorik dan dasar populis yang dimainkan, beliau berpeluang untuk terus memimpin Amerika Syarikat empat tahun lagi.

Dengan kebarangkalian ini, dasar Trump khususnya tarif yang dikenakan terhadap negara lain akan diberi perhatian oleh The Fed.

Setakat ini majoriti penganalisa ekonomi melihat kadar faedah Fed Fund Rate akan kekal dalam julat 1.50% -1.75% menjelang akhir tahun 2020. Walaubagaimanapun, ia tetap bergantung kepada dasar-dasar yang diguna pakai oleh Trump mulai sekarang sehingga bulan November nanti.

Jika Trump memilih untuk mengurangkan ketegangan perang perdagangan, inflasi Amerika Syarikat diramal akan meningkat yang dipengaruhi oleh pasaran buruh yang semakin kukuh. Ia akan memberi tekanan kepada kenaikan kadar faedah The Fed dan juga kenaikan pasaran bon.

Namun, jika Trump mengambil langkah sebaliknya, maka bank pusat tiada pilihan lain selain melonggarkan dasar jika ia memberi tekanan kepada ekonomi domestik.

4. Lambakan Bekalan Minyak Mentah Dunia

Pasaran minyak mentah global berhadapan dengan lambakan bekalan pada tahun 2020, berikutan pertumbuhan global yang perlahan mengurangkan permintaan terhadap komoditi hitam itu.

Perjanjian pada awal bulan Disember 2019 oleh negara-negara pengeksport minyak mentah (OPEC) dan rakan usahasama Russia untuk memotong bekalan sebanyak 500,000 tong sehari bermula Januari hingga Mac telah dapat meyakinkan pasaran bahawa tiada lambakan yang besar akan berlaku dalam masa terdekat.

Walaubagaimanapun,
Agensi Tenaga Antarabangsa mengatakan bekalan global mampu meningkat sebanyak
700,000 tong sehari pada suku pertama tahun 2020.
Ini bersesuaian dengan ramalan
Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat yang mengunjurkan purata harga
minyak West Texas Intermediate (WTI)
hanya berada di sekitar US$55 setong dan penanda aras Brent pula berada di
sekitar US$60.50 setong.

Pertumbuhan bekalan minyak mentah di Amerika Syarikat pula dijangka akan berkurangan kepada 900,000 tong sehari pada tahun ini menurut kajian yang dijalankan oleh kerajaan.  Ia adalah satu jumlah yang lebih kecil berbanding bekalan pada tahun 2019 dengan 1.3 juta tong sehari dan 1.6 juta tong sehari pada tahun 2018.

5. Risiko Dalam Ekonomi Eropah

Ketidaktentuan perdagangan akan terus menjadi beban kepada
ekonomi Eropah. Ia semakin menyukarkan untuk ECB keluar daripada ‘dasar kadar
faedah negatif’ sekaligus memberi tekanan kepada pendapatan sektor perbankan
Eropah.

Perang perdagangan di antara AS-China adalah faktor utama kepada masalah ekonomi di Eropah yang memberi kesan spillover kepada blok Eropah. Tarif di antara kedua-dua kuasa ekonomi itu telah menyebabkan pengurangan pelaburan perniagaan di Amerika dan China sekaligus permintaan untuk barangan dari Eropah turut terjejas.

Eropah juga akan menjadi sasaran seterusnya jika Trump
meneruskan agenda perlindungan ekonomi beliau menjelang pilihanraya presiden
AS.

Akhir sekali, Brexit juga adalah antara risiko utama kepada ekonomi global berikutan hasrat UK untuk meninggalkan EU yang berkuatkuasa pada akhir Januari ini. Perdana Menteri Boris Johnson mahukan perjanjian dagang dengan EU sebelum akhir tahun 2020 apabila tempoh transisi perjanjian keluar berakhir.

Jika ia dapat dipersetujui, ia mampu mengurangkan kesan kemerosotan kepada ekonomi UK dan EU berbanding tiada perjanjian antara dua pihak.

Sumber Rujukan:

  1. https://edition.cnn.com/2019/12/31/investing/stock-market-2020-outlook/index.html
  2. https://www.investing.com/analysis/for-most-us-major-indices-2019-has-been-great-can-that-continue-in-2020-200495364
  3. https://www.investing.com/news/economy/5-things-to-watch-for-in-global-markets-in-2020-2047764
  4. https://www.theguardian.com/business/2020/jan/01/us-election-brexit-and-china-to-sway-the-markets-in-2020#maincontent
  5. https://www.nasdaq.com/articles/im-optimistic-for-the-market-in-2020.-heres-why…-2020-01-01

Ditulis oleh Rolandshah Hussin, seorang pelabur runcit dalam pasaran kewangan. Beliau adalah graduan dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya dan kini memegang jawatan sebagai penganalisis konten di sebuah syarikat yang berpangkalan di China.



Source link