Uncategorized

Lynas: Ketegasan kerajaan legakan rakyat, henti polemik

Lynas: Ketegasan kerajaan legakan rakyat, henti polemik 1



Lynas: Ketegasan kerajaan legakan rakyat, henti polemik 2

KUANTAN: Ketegasan kerajaan dalam mewajibkan beberapa syarat dalam melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) di Gebeng di sini, seharusnya memberi kelegaan kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata ketetapan itu sudah pasti dibuat selepas kerajaan menilai semua aspek dalam operasi Lynas dan setelah mendengar pandangan pakar isu nadir bumi dan bahan radioaktif.

Sehubungan itu, beliau berpandangan adalah wajar pihak terlibat dalam isu ini memberi masa kepada Lynas untuk memenuhi syarat yang diberikan dan menghentikan segala polemik mengenai operasi kilang itu.

“Antara syarat yang ditetapkan ialah Tapak Pelupusan Kekal (PDF) bagi sisa Water Leached Purification (WLP) yang perlu diberi perhatian penuh oleh Lynas manakala kerajaan negeri Pahang harus dilibatkan dalam urusan ini.

“Pastikan semua peraturan dan kajian sewajarnya termasuk kajian alam sekitar dilakukan dengan sebaiknya dengan pemantauan ketat Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Andansura berkata syarat supaya pembinaan PDF mengikut standard antarabangsa dengan pemantauan oleh AELB juga seharusnya memberi kelegaan kerana menunjukkan pelaksanaannya adalah dibuat secara teliti.

“Oleh itu, saya berharap buat masa ini, pihak yang terlibat untuk menghentikan suara tidak berpuas hati. Semua pihak sudah perlu bergerak ke depan.

“Tindakan ini boleh memberi kesan yang besar kerana ia melibatkan keyakinan pelabur untuk terus melabur di sini, menyebabkan kita semua perlu mencari jalan penyelesaian dan bergerak ke depan,” katanya.

Andansura yakin kerajaan juga sudah pasti menimbangkan segala aspek yang perlu sebelum membuat keputusan yang boleh membangunkan negara, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan rakyat dan alam sekitar.

Semalam, kerajaan mengumumkan perlanjutan lesen operasi Lynas, yang sepatutnya tamat pada bulan hadapan kepada enam bulan lagi dengan syarat yang perlu dipenuhi kilang yang berasal dari Australia itu.





Source link

Related Posts