Artikel Terkini

MAHB dijangka catat pendapatan kukuh bagi tahun kewangan 2020 – RHB



KUALA LUMPUR: RHB Research menjangka Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) mencatatkan pertumbuhan pendapatan kukuh 13 peratus dalam tahun kewangan 2020, disokong oleh anggaran peningkatan lima peratus dalam kuantiti penumpang.

Pemulihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen juga dijangka menjadi pemangkin bagi pertumbuhan pendapatan, kata firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan hari ini.

RHB Research berkata ia mengekalkan saranan ‘beli’ bagi MAHB dengan harga sasaran pada RM9.25.

Pada 10.40 pagi hari ini, saham MAHB turun 10 sen kepada RM7.79 dengan 408,900 saham diniagakan.

“Risiko kepada saranan dan harga sasaran kami termasuklah trafik penumpang yang lemah daripada dijangkakan, pembatalan rangka kerja Asas Aset Kawal Selia (RAB) dengan model baharu yang dilutif pendapatan, keputusan negatif daripada kes mahkamah yang sedang berjalan dan penurunan ketara TRY (Lira Turki),” kata firma penyelidikan itu.

Melihat kepada harga saham MAHB ketika ini, RHB Research berkata kebanyakan ketidakpastian yang menyelubungi RAB atau rangka kerja lain telah diambil kira.

“Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan dibubarkan dan fungsi-fungsinya akan diletakkan di bawah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Walaupun ini bermakna akan membawa kepada ketidakpastian yang lebih tinggi bagi RAB, kami percaya penilaian semasa pada -1.16SD telah lebih mengatasi potensi berita negatif,” kata firma itu.

Memandangkan RAB ditetapkan oleh MAVCOM, RHB percaya kebolehlaksanaan rangka kerja itu akan dikaji semula dengan melihat juga kepada model-model lain.

“Dalam tempoh terdekat ini, kami percaya Perjanjian Operasi semasa dijangka digunakan bagi tempoh enam bulan hingga 12 bulan akan datang, sementara menunggu model baharu bagi industri penerbangan,” kata RHB Research.





Source link

Related Posts