Uncategorized

Malaysia alu-alukan tambahan FDI dari China



KUALA LUMPUR: Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk menerima lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) pada 2019 dan seterusnya, terutama dari China dengan sokongan masyarakat Hakka yang berkembang maju di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut melahirkan keyakinan bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan China, yang memasuki ulang tahun ke-45 akan terus kukuh.

“Sejak 10 tahun lepas dan secara berturut-turut, China telah menjadi rakan dagangan nombor satu Malaysia, menduduki tempat pertama dalam import dan merupakan destinasi eksport kedua terbesar.

“Saya menjangkakan hubungan kami yang kukuh dengan China akan terus berkembang,” katanya pada majlis makan malam bersempena dengan Persidangan Hakka Sedunia yang ke-30 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid pada Jumaat. 

Semasa pengumuman Belanjawan 2020 pada 11 Okt lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan Malaysia akan mewujudkan ‘saluran Khas’ bagi memudahkan kemasukan FDI dari China di bawah InvestKL.

Hubungan perdagangan di antara Malaysia dan China pada 2018 merekodkan nilai sebanyak RM 325.53 bilion (US$77.72 bilion), naik 8.1 peratus daripada 2017.

Sementara itu daripada segi pelaburan, China mengekalkan kedudukannya sejak 2016 sebagai pelabur terbesar dalam projek-projek pembuatan yang diluluskan di Malaysia, dengan capaian sebanyak US$4.75 bilion (RM19.9 bilion) pada 2018.

“Menteri Kewangan baru sahaja mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 bilion sebagai insentif pakej pelaburan yang disesuaikan selama setahun untuk sepanjang lima tahun bagi menarik minat syarikat luar ke atas negara ini.

“Malaysia sedang berusaha untuk memikat syarikat-syarikat Fortune 500 dan “unikorn global” dalam sektor berteknologi tinggi, pembuatan, kreatif dan ekonomi baharu bagi memacu pertumbuhan dan pembangunan Malaysia,” katanya lagi.

— BERNAMA





Source link

Related Posts