Artikel Terkini

Malaysia, Korea Selatan terus perkukuh ekonomi Asia Pasifik – Azmin



KUALA LUMPUR: Malaysia dan Korea Selatan akan terus berusaha memperkukuh ekonomi rantau Asia Pasifik tanpa mengabaikan kesihatan dan kebajikan rakyat masing-masing, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, penekanan itu ditegaskan dalam sesi sidang video bersama rakan sejawatannya dari Korea Selatan Yoo Myung-Hee hari ini yang turut membincangkan banyak aspek penting termasuk ekonomi rantau ini, perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta pandemik COVID-19.

Beliau berkata, walaupun kedua-dua negara bersetuju bahawa pertimbangan membabitkan kesihatan kekal diutamakan, namun aspek ekonomi serta melindungi kehidupan rakyat juga sama pentingnya.

“Kita turut berkongsi nota bagaimana usaha kerajaan masing-masing menangani pandemik itu serta impak ekonomi susulan COVID-19.

“(Selain itu) kita juga bersetuju bahawa ia (RCEP) amat penting untuk membolehkan rantau ini bergerak maju seiringnya dengan lebih awal berbanding kemudian,” katanya menerusi hantaran terbaharu di akaun Twitter beliau.

RCEP merupakan perjanjian serantau yang bertujuan meliberalisasikan aspek perdagangan dan pelaburan selain memperkukuh kerjasama ekonomi dalam kalangan negara-negara di rantau tersebut.

— BERNAMA





Source link

Related Posts