Artikel Terkini

Malaysia, Vietnam dan Thailand, penerima manfaat terbesar jika konflik perdagangan AS-China berpanjangan – ADB



KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Asia (ADB) mengunjurkan Malaysia, Vietnam dan Thailand akan menjadi penerima manfaat yang terbesar di Asia Tenggara jika ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China berpanjangan.

Ketua Ekonomi Yasuyuki Sawada berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, Vietnam dan Thailand, masing-masing boleh meningkat sebanyak 0.59 peratus, 2.31 peratus dan 0.3 peratus dalam jangka sederhana.

“Ini adalah kesan peralihan perdagangan yang utama apabila eksport China digantikan oleh eksport negara-negara Asia yang lain,” katanya dalam taklimat di Foreign Correspondents’ Club of Japan di Tokyo pada Rabu.

Beliau berkata Malaysia, Vietnam dan Thailand akan mendapat manfaat daripada peralihan perdagangan elektronik, kelengkapan pengangkutan dan jentera.

Sawada berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka perlahan kepada 4.5 peratus pada tahun ini, berbanding 4.7 peratus pada tahun lepas, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi serantau yang rendah berikutan impak daripada ketegangan perdagangan, tetapi penggunaan domestik diunjurkan bertahan dengan baik di rantau ini, yang menyediakan penampan kepada kelembapan.

Beliau berkata ekonomi negara, bagaimanapun, dijangka meningkat semula pada tahun depan mendapat manfaat daripada peralihan perdagangan dan pelaburan disebabkan perang perdagangan AS-China.

Menurut laporan Kemas Kini Prospek Pembangunan Asia 2019 ADB, lebihan akaun semasa Malaysia meningkat kepada US$7.4 bilion (US$1=RM4.18) pada separuh pertama tahun ini daripada US$4.2 bilion dalam tempoh sama tahun lepas, naik kepada 4.2 peratus daripada 2.3 peratus sebelum ini, berikutan peningkatan dalam eksport perkhidmatan bersih.

Katanya dengan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang tinggi tetapi aliran keluar modal portfolio yang besar, akaun kewangan imbangan pembayaran mencatatkan defisit sebanyak US$32.4 bilion atau bersamaan dengan 4.4 peratus daripada KDNK.

Menurut laporan itu, dengan pertumbuhan sederhana tetapi masih kukuh, kerajaan meneruskan program penyatuan fiskal yang dilaksanakan baru-baru ini.

“Trend pada separuh pertama tahun ini membolehkannya mencapai sasaran defisit fiskal bersamaan dengan 3.4 peratus daripada KDNK bagi 2019,” katanya.

Katanya perolehan kerajaan naik 17.8 peratus untuk mencecah 48.1 peratus daripada sasaran tahun penuh dan perbelanjaan meningkat 7.6 peratus untuk mencapai 47.2 peratus daripada sasaran tahun penuh.

“Walaupun perbelanjaan operasi kerajaan naik 5.9 peratus, perbelanjaan pembangunan meningkat 17.9 peratus, terutamanya daripada perbelanjaan sosial yang tinggi.

“Keputusan bersih itu merupakan defisit fiskal separuh pertama sebanyak RM22.4 bilion, bersamaan dengan 3.1 peratus daripada KDNK,” katanya.

Menurut laporan itu, pertumbuhan dalam pelaburan domestik dijangka meningkat pada tahun depan berikutan projek-projek infrastruktur awam mega yang disambung semula seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pelan Fiber dan Penyambungan Negara.

“Walaupun kos projek ECRL telah diturunkan kepada RM44 bilion daripada RM65.5 bilion melalui rundingan semula dengan kerajaan China, ia masih merupakan projek infrastruktur yang besar dengan potensi untuk meningkatkan ekonomi dengan ketara,” katanya.

Katanya perbelanjaan infrastruktur yang disambung semula akan menarik lebih banyak pelaburan swasta.

“Pelaburan juga akan mendapat manfaat daripada peningkatan pembayaran FDI dalam masa terdekat susulan hampir dua kali ganda kelulusan FDI pada separuh pertama tahun ini berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Katanya minat yang tinggi daripada pengeluar AS yang menyaksikan kelulusan pembuatan FDI dari AS melonjak kepada US$2.8 bilion pada separuh pertama tahun ini berbanding hanya US$800 juta pada 2018.

Sementara itu, katanya risiko utama kepada ekonomi Malaysia dalam jangka masa pendek ialah kelembapan pelaburan domestik yang berterusan dan konflik perdagangan AS-China yang meningkat.

“Risiko itu akan menjadi besar jika pasaran kewangan serantau dan antarabangsa menjadi lebih tidak menentu,” katanya.

— BERNAMA





Source link

Related Posts