Uncategorized

MED sasar enam syarikat induk baharu pada VIPP



KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) mensasarkan enam lagi syarikat anchor (induk) baharu dilahirkan dari Program Perkongsian Inovasi Vendor (VIPP) yang bermula hari ini sehingga esok (Rabu, 13 Nov).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Dr. Mohd. Hatta Md Ramli berkata, ia sekali gus merangsang polisi pembangunan Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) yang melibatkan sumbangan sehingga 50 peratus kepada perolehan kerajaan.

“Dari segi pembangunan ini kita bergantung kepada anchor baharu, ada enam anchor baharu yang akan terlibat dan dimasukkan.

“Kita akan bergantung kepada anchor ini setiap anchor ini akan ada vendornya yang ditambah. Kita juga akan tentukan target untuk menambah lagi syarikat ini,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Program Perkongsian Inovasi Vendor (Vendor Innovation Partnership Programme (VIPP)) di sini, pada Selasa.

Pada majlis itu juga Dr. Mohd. Hatta turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara SME Bank dan Celcom Axiata Berhad yang mengiktiraf SME Bank sebagai institusi pembiayaan utama yang menyokong Program Pembangunan Vendor Celcom Axiata 2.0.

MoU ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Idham Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail.

Dalam pada itu jelas Dr. Hata, Program Pembangunan Vendor (PPV) MED menggalakkan vendor-vendor untuk menerokai industri berpertumbuhan tinggi, meningkatkan bekalan perkhidmatan dan produk secara rentas industri dan menembusi pasaran yang baharu.

“Setakat ini, sebanyak 21 syarikat anchor dan 1,228 syarikat vendor berada di bawah PPV MED.

“Melalui VIP2 ini, MED berharap ianya dapat menarik lebih banyak penyertaan syarikat anchor dan vendor dari pelbagai industri untuk memperkasakan PPV sebagai salah satu platform pembangunan keusahawanan selaras dengan aspirasi DKN 2030 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” ujarnya.

Penganjuran VIPP menampilkan beberapa segmen menarik seperti sesi perkongsian amalan terbaik perniagaan dan teknologi terkini IR 4.0 oleh 21 ikon usahawan dalam dan luar negara serta klinik kewangan.

Program ini turut mempamerkan 16 pavilion oleh syarikat anchor dan potential anchor serta 12 booth pameran oleh agensi teknikal dan institusi kewangan.

Program VIPP mensasarkan kehadiran 5,000 pengunjung sepanjang dua hari penganjurannya.

Selain itu, 500 sesi padanan perniagaan telah diaturkan bagi memberi peluang kepada vendor untuk meneroka peluang perniagaan baharu serta mengembangkan perniagaan ke sektor yang lain bagi meningkatkan kebolehupayaan syarikat khususnya dalam industri berimpak tinggi.





Source link

Related Posts