Uncategorized

Mengangkat legasi etnik Sarawak dalam perniagaan pakaian

Mengangkat legasi etnik Sarawak dalam perniagaan pakaian 1


KUCHING: Menghasilkan baju stail terkini bermotifkan corak dan motif Sarawak.

Itu kelainan yang cuba diketengahkan seorang usahawan muda Sarawak yang berusaha mengangkat kembali nilai tradisi yang semakin hilang ditelan zaman.

Melalui jenama BORNEONATIVE, kelainan dapat dilihat menerusi budaya dan seni yang diwarisi turun temurun daripada 28 etnik yang terdapat di negeri itu.

Menerusi idea serta minat melukis yang dimilikinya, Allen Charlie dilihat sebagai perintis kepada penyambung legasi kegemilangan motif serta corak identiti negeri Bumi Kenyalang.

Antara motif yang diangkat dalam rekaannya termasuk Bemban, Kerawit, Pua Kumbu dan Burung Ruai.

Antara koleksi BORNEONATIVE yang dapat permintaan tinggi pelanggan dalam dan luar negara.

Bukan sekadar menghasilkan t-shirt biasa, malah melalui idea serta kajian yang dilakukannya, Allen berjaya menghasilkan kemeja, seluar, topi, jam tangan, beg serta kasut yang mendapat permintaan tinggi pengikutnya.

“Buat masa ini sambutan terhadap jenama BORNEONATIVE saya boleh katakan memberangsangkan dan semakin diterima.

“Kalau daripada segi pengikut di Facebook ada lebih 200,000 pengikut dan kita juga membuat rekaan untuk pihak korporat dan juga badan-badan kerajaan,” katanya ketika ditemui wartawan AWANI Sarawak.

Biarpun kini hanya memasarkan produk keluarannya menerusi platform digital semata-mata, namun jenama ini tetap berjaya cipta pengikutnya tersendiri di peringkat antarabangsa.

“Sekarang ini pasaran kita kebanyakannya kalau yang di luar negara tu datangnya daripada United Kingdom, Kanada dan  Hong Kong.

“Kita juga ada pengikut yang memang pelanggan tetap kita ada dari Bulgaria yang beli jenama kita biasanya orang yang pernah datang ke Sarawak mungkin dia akan tahu, BORNEONATIVE ni dia akan beli,” ujar beliau lagi.

Perancangan Allen pada masa depan ialah untuk terus mengembangkan perniagaannya seterusnya memperkasa identiti Sarawak ke mata dunia.





Source link