Artikel Terkini

Mengapa Wanita Cenderung Menjadi Pelabur Cemerlang?


Wanita secara holistiknya sering mempamerkan ciri-ciri yang diperlukan untuk melabur dengan baik. Namun dapatkah ia dibuktikan atau sekadar mitos sahaja?

Mari kita lihat beberapa kajian yang telah dijalankan berkenaan wanita dalam arena pelaburan.

Banyak Kajian Telah Pun Dijalankan

Beratus-ratus kajian telah dilakukan sejak dua dekad yang lalu, bagi mengkaji sikap wanita terhadap dunia kewangan dan pelaburan. Kesimpulannya, terdapat dua pemerhatian yang paling banyak dikaitkan dengan perwatakan wanita dalam pelaburan, iaitu:

Pertama, semua kajian menyimpulkan wanita lebih menonjol dalam membuat pulangan terhadap portfolio pelaburan mereka. Walau apa jua situasi pasaran saham, samada bull market atau bear market, mereka konsisten dalam mengekalkan prestasi pelaburan yang lebih baik berbanding lelaki.

Tidak menghairankan jika satu hari nanti, wanita lebih ke depan berbanding lelaki dalam dunia pelaburan.

Kedua, wanita secara konsisten menghasilkan pelaburan yang lebih baik kerana wanita lebih tertumpu terhadap pengurusan sebuah risiko berbanding mengejar keuntungan. Wanita lebih berdisiplin ketika berdepan dengan risiko dalam portfolio pelaburan mereka.

Wanita juga dilihat lebih bersedia dalam menghadapi situasi di luar pengetahuan dan pengalaman mereka. Secara tidak langsung, perempuan dapat menjana prestasi pelaburan yang lebih baik, dan mempunyai tahap risiko yang sedikit.

Sungguhpun begitu, majoriti wanita di Malaysia kurang memahami potensi diri mereka sebagai seorang pelabur berjaya.

Selaras dengan pemerhatian ini, kita boleh ambil kaji selidik yang dijalankan oleh Prudential Research Survey yang bertajuk “Financial Experience & Behaviors Among Women”. Ianya telah mendedahkan bahawa, sebilangan besar daripada pelabur wanita tidak yakin dengan  proses membuat keputusan pelaburan mereka.

Didapati bahawa 70% tindakan mereka dalam pelaburan hanya dianggap sebagai proses penabungan atau simpanan, dan bukannya proses pelaburan.

Sebahagian besar pelabur wanita lebih menyifatkan diri mereka kurang pengetahuan dalam dunia kewangan, dengan hampir 2/3 responden menyatakan bahawa mereka hanya berminat dengan dunia pelaburan apabila produk pelaburan mereka mendapat jaminan keuntungan.

Wanita dilihat lebih selesa berjimat-cermat dalam dunia kewangan. Keengganan mereka untuk melabur mungkin disebabkan sifat berjimat-cermat ini. Tambah mereka lagi dalam kajian tersebut, kurang dari 25% wanita yang ditemuramah sangat meminati dunia pelaburan.

Data ini menunjukkan kenapa wanita lebih dipinggirkan dalam dunia pelaburan kerana kurangnya minat dari golongan hawa ini.

Kesimpulannya, jika seseorang wanita boleh meningkatkan keyakinan diri dan pengetahuan, sekaligus mereka boleh mencapai potensi diri yang mereka tidak pernah bayangkan. Kenali kelebihan dan kekurangan diri, sentiasa cari jalan untuk mengawal risiko, dan InsyaAllah anda akan berjaya.



Source link