Uncategorized

Mindvalley Hadir Dengan Ruang Kerja Penuh Inovasi Dan Kreativiti


Syarikat pendidikan perkembangan diri dari Malaysia, Mindvalley, telah melancarkan Hall of Awesomeness, sebuah auditorium berteknologi tinggi yang bernilai RM1.3 juta di Menara UOA, Bangsar di Kuala Lumpur.

Auditorium baharu tersebut membolehkan kelincahan di tempat kerja untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi yang merangsang tahap pemikiran yang pelbagai, dan Mindvalley berusaha untuk menyediakan persekitaran kerja yang terbaik dan kondusif untuk keperluan kakitangannya. Ia dibina untuk tujuan perkongsian dan meraikan pencapaian-pencapaian syarikat tersebut, perjumpaan sosial di dalam syarikat, dan menganjurkan acara-acara teknologi dan perniagaan baharu.

Auditorium berkapasiti 150 yang dilengkapi sistem bunyi yang canggih dan keupayaan penstriman video secara langsung ini adalah penambahan terkini kepada pejabat Mindvalley di Kuala Lumpur yang telah memenangi anugerah.

Ruang Kerja Yang Memberi Inspirasi

Pengiktirafan terkini Mindvalley ialah apabila ia disenaraikan dalam Inc’s World’s 10 Most Beautiful Offices of 2019 dan telah berkembang menjadi sebuah syarikat yang mempunyai lebih 300 orang kakitangan dari lebih 59 buah negara. Individu yang bertanggungjawab atas pengiktirafan ini ialah Pereka Pengalaman Tempat Kerja Australia iaitu Luke Anthony Meyers yang telah berjaya menghasilkan pengalaman tempat kerja yang amat unik.

“Lebih daripada 30% ruang boleh guna telah ditambah di dalam pejabat ini dengan pembinaan platform-platform mezanin selisih lantai,” kata Luke.

Mengubah Kehidupan

Mindvalley yang diasaskan pada tahun 2003 telah meraih pengiktirafan global terutamanya di Amerika Syarikat kerana telah memberi inspirasi dan mengubah kehidupan dalam perjalanannya menjadi syarikat yang paling inovatif dalam bidang pendidikan transformasi. Individu di sebalik syarikat ini ialah Vishen Lakhiani, anak Malaysia yang percaya dalam meningkatkan kesedaran manusia dengan mengubah cara kita belajar, berkembang, bekerja dan bersama-sama mencipta. Visi beliau telah memandu Mindvalley untuk menginspirasi orang ramai dengan memperkasakan setiap aspek minda, tubuh dan semangat, memfokus kepada apa yang tidak diajarkan dalam sistem pendidikan tradisional. Mindvalley ialah platform perkembangan diri dalam talian yang terbesar di dunia dengan lebih 10 juta orang ahli di seluruh dunia.

“Kunci untuk menjadi individu yang luar biasa ialah mengetahui peraturan apa yang perlu dipatuhi dan apa yang perlu dilanggar,” kata Vishen Lakhiani, pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Mindvalley.

Buku The Code of the Extraordinary Mind, yang ditulisnya telah disenaraikan dalam New York Times Business Best Sellers List pada tahun 2016, dan telah mencapai kedudukan #1 di Amazon sebanyak lima kali pada tahun 2017. Bianca Andreescu, pemenang U.S. Tennis Open 2019 yang pernah memetik buku tersebut adalah contoh terbaik yang membuktikan bagaimana perkembangan diri bukan sekadar memperkasa dan membentuk tetapan minda seseorang, tetapi juga kejayaan seorang atlet. Dengan kesungguhan Vishen, Mindvalley semakin menghampiri misinya iaitu untuk mengubah 1 bilion kehidupan menjelang tahun 2038.

Rancangan perkembangan Mindvalley di Malaysia melibatkan usaha sama dengan pelbagai syarikat tempatan serta agensi kerajaan dan bermatlamat untuk meningkatkan prestasi dalam aspek-aspek penting kehidupan seperti produktiviti, kerjaya, hubungan, keibubapaan, minda & semangat, kesihatan & kecergasan dan banyak lagi. Selain itu, Mindvalley telah membimbing dan menyumbang kepada bekalan bakat di negara ini dengan fokus yang tinggi terhadap teknologi melalui pelbagai pengalaman, acara dan program pembelajaran.



Source link